David Usop sah rehat, Pengiran Bala pengganti

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop hari ini membuat keputusan mengejut dengan mengumumkan “berehat” daripada mengendalikan skuad Ngap Sayot.

Ditemui dalam sidang media khas jam 2 petang tadi, David berkata, keputusan itu diambil sebagai memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk pasukan, yang tidak pernah menang satu perlawanan pun di gelanggang sendiri.

Beliau yang ditemani Pengarah Kejurulatihan Negeri, Abdol Wahet Uji bagaimanapun tidak menyatakan sampai bila beliau akan berehat.

Kontrak David untuk pasukan Sarawak masih berbaki enam bulan.

Gambar fail

“Saya cuma berehat, bukan mengundur diri. Ketika ini, tugas ini akan dipangku oleh pembantu saya, Pengiran Bala,” katanya.

Sarawak kini berada di kedudukan ke-10 dengan mengutip 14 mata, setelah bertarung 15 perlawanan.

Pada Mei, Sarawak membawa masuk dua pemain import baharu, Milos Raickovic dan Sahil Suhaimi, bagi membantu meningkatkan kualiti permainan, berikutan persembahan buruk Mark Hartmann dan Lee Jong-ho.

“Ia keputusan yang ikhlas, tanpa desakan atau dipengaruhi sesiapa.

“Ia hadir ketika Sarawak tumpas 4-0 kepada JDT di Larkin.

“Dan kekalahan kepada Selangor 1-2 dan semalam 1-3 kepada Felda United memuktamadkan hasrat saya,” katanya.

Abdol Wahet ketika diminta mengulas tindakan David, berkata, ia tindakan berani dan luar biasa.

“Ia dapat dilaksanakan kerana tanggungjawab. Saya kenal rapat dengan dia dan mengenali perjuangannya.

“Lagipun tindakan David bukan perkara baharu. Beliau dua kali mengambil alih pasukan di tengah musim; ketika Sarawak di bawah Robert Alberts dan tahun lalu, di bawah Datuk K. Rajagobal.

Kata Abdol Wahet, angin baharu dibawa David ketika itu berjaya membawa pasukan Ngap Sayot kekal di Liga Super.

“Justeru itu kita berharap ‘angin baharu’ yang sama.

“Kita berharap pasukan ini akan dapat pergi jauh dan menangani badi kekalahan,” tambahnya.

Pada musim ini, David diarahkan oleh pengurusan untuk menggunakan 90 peratus anak tempatan Sarawak, tetapi mengekalkan tiga pemain Semenanjung.

Bagaimanapun dengan bajet yang ketat, David yang juga Ketua Jurulatih paling rendah gajinya dalam Liga Super hanya dapat memanggil uji pemain import bertaraf gred C. – Sarawakvoice