MEXICO: Kes-kes pembunuhan kejam terus berleluasa di Mexico, dengan minggu ini sahaja lebih 300 kes bunuh dilaporkan berlaku.

Menurut laporan media, kes paling ganas dilaporkan berlaku di negeri Guerrero, Sinaloa, Veracruz and Michoacan, yang dikuasai kumpulan jenayah terancang yang bersaing antara satu sama lain untuk mengawal aktiviti pengedaran dadah selain turut melakukan aktiviti jenayah lain seperti serangan dan pemerasan.

Kadar kematian tinggi yang dicatat itu juga disebabkan berlaku pertembungan antara pihak polis dengan penyeludup minyak yang mencuri bahan mentah itu daripada saluran paip minyak Pemex di kawasan Tierra Caliente.

Kes keganasan berpunca daripada pergaduhan banduan di penjara Acapulco, Khamis lalu, yang menyebabkan 28 maut dan tiga cedera, turut menambah statistik kematian mingguan itu.

Kes-kes keganasan di negara itu turut melibatkan warga kerja media, dengan seramai 36 wartawan terbunuh di bawah pentadbiran kerajaan semasa, manakala tujuh kes pembunuhan melibatkan wartawan dilaporkan setakat tahun ini, termasuk wartawan La Jornada yang juga pengasas terbitan mingguan RioDoce, Javier Valdez, dan Jonathan Rodríguez wartawan El Costeno de Autlan, Jalisco.

Menurut Sekretariat Eksekutif Sistem Keselamatan Awam Negara sebanyak 8,705 pembunuhan dilaporkan dari Januari hingga April lalu.

Secara purata, sebanyak 72 kes pembunuhan dicatatkan setiap hari, atau tiga kes bunuh berlaku setiap sejam yang direkodkan secara sistematik di negara itu sejak tahun 2007. – Bernama