Lelaki bakar diri kerana merajuk di Tabuan

KUCHING: Kerana merajuk, seorang lelaki membuat keputusan membakar diri di Kampung Tabuan Melayu, dekat sini lewat malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, mangsa berumur 48 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan berselisih faham dengan kakaknya, sebelum merajuk.

“Mangsa kemudian mengambil minyak petrol sebelum menyimbah ke badannya dan menyalakan api.

Abang Ahmad berkata, anggota polis Pondok Polis Hospital Umum Sarawak (HUS) telah dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pembantu perubatan sekitar jam 12.15 pagi.

“‘Pihak doktor memaklumkan mangsa telah terbakar pada bahagian pinggang ke atas sebanyak 60 peratus dan masih berada di Zon Merah dan tidak sedarkan diri.

Kes katanya, kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh diri. – Sarawakvoice