Lapan sekeluarga mati ditembak di Krabi

KRABI: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati lapan sekeluarga, termasuk kanak-kanak selepas menyerbu masuk sebuah rumah di Krabi, Thailand, dan menahan mereka.

Reuters melaporkan, kumpulan lelaki itu menyerbu masuk rumah berkenaan lewat malam tadi dan menahan mangsa sebelum menembak mereka.

Menurut Bangkok Post, tiga kanal-kanak antara mangsa yang ditembak dan sekumpulan lima atau enam lelaki tiba di rumah Vorayut Sanglang iaitu Ketua Kampung Ban Klang pada 4 petang semalam, berpakaian celoreng dengan dua kenderaan.

Menurut polis, mereka mahu menggeledah rumah berkenaan dan memberi amaran kepada keluarga berkenaan supaya jangan keluar.

Ketua penyiasat di Balai Polis Ao Luk, Kapten Suwit Kaewpreecha, berkata kumpulan itu menunggu sehingga Vorayut pulang pada 8 malam. Seluruh anggota keluarga digari dan ditutup mata.

“Menjelang tengah malam, mereka ditembak dari dekat, mensasarkan kepala,” katanya.

Kumpulan penyerang itu kemudian meninggalkan rumah berkenaan dengan turut mencuri kereta Toyota milik Vorayut.

Polis yang tiba ke tempat kejadian pagi ini menemui lapan mayat dalam rumah iaitu dua lelaki, dua wanita dan dua budak perempuan. Enam lagi mangsa yang cedera parah ditembak dikejarkan ke hospital.

Menurut polis, Vorayut dan seorang lagi budak perempuan mati ketika dirawat di hospital.

Polis percaya serangan itu ada kaitan dengan perbalahan peribadi.

Ramai rakyat Thailand memiliki senjata api namun kejadian pembunuhan beramai-ramai seperti ini amat jarang. Bernama