Biar S’wak guna wang sendiri bangun prasarana pendidikan, Pusat bayar kemudian — Abang Jo

MUKAH: “Saya telah kata kepada Perdana Menteri; biarkan kami mengguna wang sendiri, dan kamu (Kerajaan Persekutuan) perlu bayar (kemudian).”

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mendedahkan perbualan peribadinya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hasrat Kerajaan Negeri menggunakan dana sendiri membangun prasarana pendidikan di seluruh negeri ini.

Inisiatif tersebut diambil kerana Kerajaan Negeri tidak dapat menunggu terlalu lama kelulusan sesuatu peruntukan yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan atas sebab pemprosesan dan teknikal.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Selasa, Abang Johari semasa merasmikan Perayaan Hari Guru Ke-46 Peringkat Negeri di pusat peranginan terkemuka mendedahkan bahawa: “Perdana Menteri bersetuju, dan kalau tidak dapat bayar, (kita) ambil dari royalti minyak.”

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, memandangkan banyak sekolah dan kuarters guru daif memerlukan perhatian segera, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) mampu membantu Sarawak menangani segera isu pendidikan ini.

DBOS yang diwujudkan Kerajaan Negeri mula beroperasi Januari 2018.

Pada majlis tersebut Abang Johari turut berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan mewujudkan kementerian baharu iaitu Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Pusat menangani isu pendidikan negeri secara lebih efektif.

Abang Johari menyifatkan dasar pendidikan yang diperkenal Kerajaan Negeri ini melengkapkan dasar Kerajaan Persekutuan. – Sarawakvoice