Trump dengan masalah “bahasa” tangannya

Menarik untuk bercakap perihal tangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Dalam insiden terbaru berkaitan “olah” tangan Trump berlaku di Warsaw Poland.

Trump kelihatan canggung selepas huluran salamnya “kelihatan” diabaikan Wanita Pertama  Poland Agata Kornhauser isteri Presiden Poland Andrzej Duda.

Isteri Presiden Poland Tertinggal Salam Trump

Ketika Trump bersalam dengan presiden Poland, isterinya Agata tertumpu untuk bersalam dengan Melania Wanita Pertama AS.

Bagaimanapun, Agata kemudiannya memusingkan badannya untuk menyalami Trump.

Dalam insiden lain, Trump ketika melawat Arab Saudi baru-baru ini, menikmati secawan kopi di hadapan Raja Salman dalam acara menyambut Trump sebagai tetamu di Riyadh sempena Sidang Kemuncak Arab-Islam-AS di Riyadh pertengahan Mei lepas.

Menjadi tradisi Arab Saudi menerima kehadiran tetamu dengan menghidangkan secawan kopi.

Kopi Arabica memang terkenal kesedapan dan “kehebatan”nya di mata dunia.

Dalam video tersebut Trump cuba meneguk kopi dengan tangan kiri, lantas ditegur selamba Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud.

Minum Dengan Tangan Kanan Bersama Raja

Raja Salman yang berdiri di sampingnya memberitahu bahawa minum harus dengan tangan kanan.

Trump memindahkan cawannya ke tangan kanan, lalu menikmati kopinya bersama dengan Raja.

“Dengan tangan kanan,” ujar Raja Salman.

“Selalu dengan tangan kanan, benar, selalu dengan tangan kanan,” sambung Trump.

Menggunakan tangan kanan untuk makan dan minum adalah salah satu sunah Nabi Muhammad yang diamalkan pembesar Arab Saudi itu.

Macron Jabat Erat Tangan Trump!

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengatakan bahawa genggamannya yang kuat semasa menjabat tangan Donald Trump memang bermaksud.

Jabat tangan erat tersebut membuat Trump terasa canggung dan janggal sehingga tangan mereka memutih.

Di mata media Perancis, Macron menyampaikan mesej beliau mahu menunjukkan bahawa beliau tidak mengalah dengan memberikan kemenangan kecil, meskipun hanya secara simbolik.

Pertemuan tersebut mendapat perhatian Turki dan Rusia yang melihat sesuatu dalam hubungan kedua-dua kuasa itu.

Macron dan Trump bertemu di Brussels sebelum pertemuan Peringkat Tertinggi Nato.

Ketika berjabat tangan, Macron dan Trump saling menatap tajam mata masing-masing sehingga Trump janggal dan berusaha melepaskan tangannya.

Trump Pegang Tangan May, Tarik Tangan PM Jepun

Pada Januari lepas, Trump memegang tangan Perdana Menteri Britain Theresa May semasa berjalan bersama.

May mengatakan bahawa Trump cuba “menjadi seorang gentleman”.

Kemudian, semasa berjabat tangan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, Trump menarik tangan Shinzo sehingga membawa badan Shinzo ke arahnya.

PM Kanada Elak Tarikan Trump, Trump Abai Salam Angela

Namun, semasa Perdana Menteri Kanada Justin Trudeu berjabat dengan Trump, Justin sudah bersedia menghindari tarikan tangan Trump, sebaliknya beliau memegang bahu Trump semasa bersalam, mengelak Trump menarik badannya.

Pada Mac pula, Trump tampaknya tidak mempedulikan tawaran salam dari Kanselor Jerman Angela Merkel apabila Angela menghulur tangan kepada Trump.

Bahasa Tangan Antara Trump Dengan Isterinya Melania

Sementara, ramai pihak tertarik membaca komunikasi nonverval antara Trump dengan isterinya Melania.

Menurut The Huffington Post, pada 24 Mei lepas, pada hari yang sama, dua kali Melania terakam video menolak tarikan tangan suaminya itu semasa keluar dari pesawat Air Force One setibanya di Rom, Itali untuk bertemu pemimpin Vatican, Paus Fransiskus.

Melalui video tersebut, Trump cuba memegang tangan Melania tetapi Melania mengabaikannya sebaliknya merapikan rambutnya yang tertiup angin.

Trump yang nampak canggung kemudian meletak tangan pada punggung isterinya.

Sebelum itu, rakaman video menunjukkan Melania menepis tangan Trump semasa mereka mengunjungi Tel Aviv, Israel.

Di permaidani merah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion, Trump melihat tuan rumah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memegang mesra isterinya Sara.

Trump cuba meniru lantas menyorong tangan ke arah Melania di belakangnya.

Melania bukan sahaja tidak menyambut tangan Trump, bahkan menepisnya.

Donald Trump beberapa kali dikritik tajam kerana berjalan jauh meninggalkan isterisnya Melania di belakang.

Ruang atau jarak antara Trump dengan Melania kerap menjadi perbualan netizen kerana jarak atau ruang yang dikira renggang menunjukkan ada masalah dalam hubungan antara kedua-dua suami isteri itu.

Sebelum ini insiden memalukan berlaku semasa pelantikan Trump sebagai presiden.

Melania terdengar percakapan Trump yang ditujukan kepada anaknya, Ivanka, yang ketika itu duduk di belakang ibu tirinya itu.

Melania terakam kamera berkelakuan jengkel di belakang Trump.

Komunikasi Nonverbal Trump Bermasalah Sejak Hari Pertama…


Peristiwa Trump kali pertama memasuki Rumah Putih antara paling banyak dikritik pembaca dan netizen.

Trump semasa keluar dari kereta sangat teruja untuk menaiki tangga Rumah Putih sehingga “tertinggal” isterinya Melania dalam jarak yang agak jauh di belakang.

Begitu juga ketika bersalam dengan Presiden AS ketika itu Barrack Obama dan isterinya Michelle Obama di pintu masuk, sekali lagi Trump meninggalkan Melania di belakang. – Sarawakvoice