Kajian MA63 demi masa depan Sarawak, tidak perlu campur politik Semenanjung

Demi Sarawak. Itu misi utama pasukan petugas khas perundangan Sarawak berkunjung ke London, pada 16 Julai depan.

Seperti yang diperjelas oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal ehwal undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, mereka ke sana bukan untuk membazirkan duit rakyat.

“Kami bertanggungjawab untuk mendapatkan fakta dan melakukan kajian.

“Kami perlu mengesahkan beberapa fakta yang sebelum ini berselerak,” tegasnya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Seri Nancy Shukri semalam.

Benar, tugas Hasidah bukan mudah kerana bersama-sama beliau ialah bukan calang-calang individu. Ini termasuk bekas Peguam Besar Negeri, Datuk JC Fong dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Gerawat Gala.

Dengan timbunan lebih 600 ribu dokumen serta surat, serta perlu mengunjungi pelbagai lokasi termasuk Perpustakaan dan Arkib Nasional British di Kew, London, ia bukan tugas yang ringan.

Mereka perlu kembali dengan pembentangan dan kerana itulah kajian ini diwakili oleh pengamal undang-undang berpengalaman Sarawak.

Banyak perkara yang sedang diusahakan Sarawak, terutama perihal perundangan dan perjanjian lalu perlu diperjelas lanjut.

Kandungan asal perjanjian perlu dilihat dan dikaji, kerana sebelum pembentukan Malaysia, kesemua perbincangan dikendalikan oleh Pejabat Tanah Jajahan.

Pentadbiran lalu British banyak melakukan rekod dan rekod inilah yang perlu diteliti.

Sarawak tidak mahu apabila proses penurunan kuasa dibincangkan untuk sesi seterusnya, masih banyak perkara yang tertinggal.

Ini termasuk kuasa yang seharusnya dimiliki oleh Sarawak sebagai satu wilayah, Akta Pelantar Benua, dan sempadan darat ke laut.

Justeru apabila ada beberapa pihak memperkecil tindakan Kerajaan Negeri ini sebagai membuang masa, boleh dibaca sebagai kenyataan dungu.

“Tindakan ini perlu bagi mengabsahkan dokumen-dokumen yang samar. Ini kerana generasi pemimpin yang ada kini adalah generasi baharu.

“Dan dalam menuntut hak yang terhakis, serta menyemak kembali banyak perkara yang sebelum ini dipersetujui sewaktu penubuhan Malaysia, mereka perlu melihat kembali perjanjian asal.

“Kalau tidak, ia akan menjadi seperti sekarang … dengan banyak pihak membuat tuduhan dangkal,” kata pensyarah kanan Politik UITM Sarawak, Dr Nadrawina Isnin.

Katanya, tindakan Kerajaan Negeri melakukan semakan dan rujukan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 adalah haknya, dan tidak bersalahan dengan undang-undang.

“Kenapa perlu dipersoal. Seharusnya tindakan ini disokong kerana segala fakta dapat diperjelas,” ujarnya. Beberapa pihak termasuk pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Nasional (PAN) mempertikai usaha tersebut.

Kata Dr Nadrawina, perkara ini seharusnya tidak dipolitikkan kerana hasil rujukan ini kelak akan menguntungkan semua pihak.

“Ia adalah untuk masa depan Sarawak. Dan untuk masa depan Malaysia yang telah berusia 54 tahun pada 16 September depan.

“Dan sewajarnya, pada usia setua ini, perjanjian itu sentiasa dikaji, ditelaah dan difahami secara tuntas oleh seluruh rakyat Malaysia. – Sarawakvoice