Bekas MB Selangor batal hasrat dapat kembali banglo dirampas

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri hari ini menarik balik permohonan untuk mendapatkan penjelasan berhubung perintah mahkamah melucutkan hak ke atas dua lot tanah dan sebuah banglo.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif kemudian membatalkan permohonan pasangan itu.

Terdahulu, peguam M.Athimulan yang mewakili pasangan itu memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau telah menasihati anak guam dengan sewajarnya selepas mengkaji afidavit kedua-dua pihak dan penghakiman.

“Arahan anak guam kami adalah untuk menarik balik permohonan,” katanya kepada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan iaitu termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili pendakwaan. Pemohon tidak hadir di mahkamah.

Dr Mohamad Khir, 51, dan Zahrah Kechik, 51, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perintah Mahkamah Tinggi melucutkan hak ke atas hartanah itu.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung perintah melucutkan hak ke atas hartanah yang Dr Mohamad Khir dan isterinya adalah pemilik berdaftar.

Pada 29 Sept 2015, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas rayuan terakhirnya ditolak untuk mengetepikan sabitan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan unit banglo di Shah Alam.

Pada 29 Mac tahun lepas, beliau dibebaskan dari penjara apabila diberikan parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni yang diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Dr Mohamad Khir, yang menjadi Menteri Besar mulai Ogos 2000 hingga Februari 2008, disabitkan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan dua lot tanah dan banglo itu dilucutkan hak. Bernama