Sarawak terkulai tanpa Mateo Roskam

KUCHING: Tanpa kelibat Mateo Roskam, Sarawak menyempitkan peluangnya dalam aksi Piala Malaysia apabila kecundang 1-2 di halaman sendiri malam tadi.

Francis Forkey Doe menjadi duri dalam daging apabila membuat merembat masuk hantaran Andik Vermanshah pada minit ke-39, bagi meranapkan kebangkitan Sarawak.

Sarawak yang turut merehatkan Hairol Mokhtar memulakan aksi dengan permainan menyakinkan, dengan hantaran pendek dan kemas.

Namun kepantasan Nur Shamie Iszuan Amin, Abdul Rahim Abdul Razak serta kelibat Tommy Mawat Bada nyata gagal melepasi kubu Selangor yang diperteguh pertahanan sasa Ugochukwu Ukah.

Babak kedua terus malang untuk skuad Ngap Sayot apabila Selangor semakin menguasai saingan.

Kemuncaknya, pada minit ke-64, Demerson Bruno Costa tertampan bola ke gawang sendiri, untuk membolehkan pasukan pelawat melebarkan defisit gol.

Ketika aksi memasuki minit ke-82, Shreen Tambi yang masuk menggantikan Awang Kamaruddin Awang Borhan, meluru menyambut hantaran Tommy Mawat Bada untuk gol pertama Sarawak.

Jaringan gol itu membakar semangat Sarawak untuk terus bangkit, namun segala-galanya sudah terlambat.

Tamat 90 minit perlawanan, anak-anak buah David Usop terus kempunan mata, dan kekal di tangga tercorot Kumpulan D.

SARAWAK:

Mohd Shahril Sa’ari, Ronny Harun, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Nur Shahmie Iszuan Amin (Mohd Hafiz Abu Bakar), Tommy Mawat Bada, Rames Lai Bai Huat, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Awang Kamaruddin Awang Borhan (Shreen Tambi), Abdul Rahim Abdul Razak (Mohamad Alif Hassan).

SELANGOR:

Norazlan Razali, Namathevan Arunasalam, Andik Vermanshah, Saiful Ridzuan Selamat, Adam Nor Azlin, Francis Forkey Doe, Mohd Raimi Mohd Nor, Ugochukwu Ukah, Mohd Fairuz Abdul Aziz (Mohd Rizal Fahmi), Mohd Amri Yahyah (S Veenod), Rufino Segovia del Burgo (Abdul Halim Zainal)