Rezeki Raya daripada Mawan untuk rakyat Sessang

KABONG: Ramah Tamah Aidilfitri Zon Tengah yang diadakan bertempat di Kampung Sessang mendapat ‘Rezeki Raya’ di luar jangkaan apabila diumumkan tentang pembinaan sebuah dewan masyarakat baharu untuk warga Kampung Sessang.

Turut diumumkan pemberian peruntukan untuk pembinaan bangunan Pusat Penjaja Simpang Nyabor dengan kos sebanyak RM250,000.

Ahli Parlimen P.205 Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom mengumumkan perkara tersebut sebagai hadiah terhadap sokongan kuat penduduk di situ terhadap kerajaan.

Dalam ucapannya Mawan turut melahirkan rasa kagum terhadap kerjasama penduduk pelbagai peringkat dan juga sokongan daripada antara kaum di kawasan itu.

Lantaran itu Mawan berharap agar kerjasama dan sokongan padu rakyat akan berterusan pada masa akan datang.

Dianggarkan kira-kira 800 tetamu hadir untuk majlis tersebut yang diadakan bermula jam 9 pagi.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Kabong, Encik Mohd Chee Kadir. – Sarawakvoice