Polis cekup lelaki suspek pecah rumah dan curi di Betong

BETONG: Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 24 tahun yang aktif dalam melakukan jenayah pecah rumah dan curi di sekitar Daerah Betong berjaya dicekup pihak polis di sini semalam.

Pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Betong bertindak memburu suspek setelah menerima aduan berhubung kes pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Betong (KPD) DSP Mohd Fadhil Antum Abdullah berkata, sebelum itu seorang guru telah membuat laporan polis dengan mendakwa rumahnya telah dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali sewaktu ketiadaannya kerana balik bercuti ke Semenanjung Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Susulan daripada kejadian tersebut pihak polis melalui ‘Task Force’ dengan diketuai oleh inspektor Elvis Moore telah berjaya menjejak dan seterusnya menangkap suspek.

“Pihak polis berjaya menjumpai semula dua unit komputer riba jenama Lenovo berserta pengecas, satu tab jenama Huawei dan sepasang kasut yang telah dicuri sebelum ini,” ujarnya.

Susulan daripada penangkapan itu, suspek kini dikenakan tahanan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut. – Sarawakvoice