Pengguguran Mukhriz disebabkan gagal tadbir negeri – Rahman Dahlan

ALOR SETAR: Pengguguran Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dilakukan antara lain atas faktor kegagalan beliau mentadbir negeri selain tidak boleh menyatupadukan parti serta tidak setia kepada kepemimpinan dan parti.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata prestasi ekonomi negeri ini tidak memberangsangkan sepanjang tempoh lebih dua tahun Mukhriz mentadbir Kedah apabila rizab kewangan serta kutipan hasil kerajaan negeri merosot.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tidak banyak pihak, termasuk golongan muda, yang mengetahui fakta itu sehingga mereka terpengaruh dengan permainan persepsi beliau semata-mata.

“Kita letak beliau sebagai menteri besar, kita berpandangan (beliau) sebagai orang muda, semangat kuat, idea baharu.

“Sekurang-kurangnya tidak begitu fasih politik tetapi ekonomi kena bagus sebab beliau juga ahli korporat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Alor Setar di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abdul Rahman mendedahkan rizab kewangan negeri ini merosot daripada RM208.94 juta pada 2013 kepada RM43.40 juta pada 2015 manakala jumlah kutipan hasil negeri ini turut menurun iaitu daripada RM518.3 juta pada 2013 kepada RM411.05 juta pada 2015. Bernama