Pegawai kastam tagih sogokan USD10 ribu di Bintulu diperangkap SPRM di Bintulu

BINTULU: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kastam kerana dipercayai meminta rasuah bagi memudahkan proses pengeksportan bahan ‘piping & associated facilities’ ke luar negara oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di sini.

“Suspek berusia 53 tahun ditahan di hadapan sebuah hentian bas di Bintulu, pada malam Khamis.

Sumber berkata, perbuatan suspek terbongkar sejurus orang awam membuat laporan kepada SPRM yang mengadu lelaki itu meminta wang berjumlah ribuan ringgit untuk proses melepaskan barangan eksport.

“SPRM sudah bertemu dengan wakil syarikat yang menjadi mangsa untuk mendapatkan maklumat dan mendapati suspek meminta USD10 ribu bagi memudahkan pengeksportan bahan tersebut.

“Susulan maklumat tersebut, SPRM bekerjasama dengan syarikat mangsa untuk memerangkap suspek dan dia berjaya diberkas bersama-sama wang tunai haram yang dimiliki,” katanya.

Dalam operasi khas itu, turut dirampas ialah dua unit telefon bimbit jenama Iphone, dipercaya milik suspek yang digunakan dalam urus niaga itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan mengakui, maklumat orang awam membawa kepada penahanan suspek.

“Kita (SPRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa lebih ramai lagi akan dipanggil sekiranya perlu bagi membantu siasatan .

Suspek hari ini telah dibenarkan reman sehingga 12 Julai oleh Majistret Muhammad Hafiz Muhd Noor mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bintulu. – Sarawakvoice