Malaysia mungkin bina akademi golf – Mahdzir Khalid

BERA: Malaysia berkemungkinan memiliki akademi golf pertama bagi mengasah bakat pelajar dalam sukan ini yang akan diadakan di Padang Golf Awam Majlis Daerah Bera.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata kementerian akan meninjau kesesuaian padang golf yang terletak tujuh kilometer daripada bandar Bera itu setelah ditawarkan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Anggota Parlimen Bera.

Beliau menambah beliau akan mengarahkan Pengarah Bahagian Sukan kementerian, Dr Mehander Sigh untuk meninjau dan berbincang dengan Pegawai Daerah Bera, Datuk Razihhan Adzharuddin bagi mendapatkan perincian perkara itu Isnin ini.

 “Setakat ini kita masih tidak mempunyai satu akademi khusus dalam bidang sukan golf sedangkan akademi serupa telah diwujudkan di negara lain yang terbukti berjaya melahirkan pemain golf berjaya bagi mewakili negara mereka.

“Kita sudah ada pelajar yang bermain golf di peringkat negeri masing-masing dan setiap tahun kita menghimpunkan kira-kira 30 pemain di kem yang diadakan di Kuala Lumpur pada musim cuti sekolah untuk tempoh selama 10 hari,” katanya kepada pemberita.

Mahdzir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera 2017 di Kompleks Rakan Muda Bera hari ini.

Turut hadir Ismail Sabri yang juga Ketua Bahagian UMNO Bera dan barisan kepimpinan parti bahagian iaitu Sabariah Saidan (Wanita), Mohd Zoolihsan Ahmad (Pemuda) dan Salmiah Ab Rahman (Puteri).

Beliau berkata penubuhan akademi itu kelak akan membolehkan pemain cilik negara menjalani latihan dengan lebih kerap dan mendapat tunjuk ajar daripada golongan profesional tanpa meninggalkan bidang akademik mereka.

Ismail Sabri berkata padang golf awam itu jarang digunakan selain terdapat sebuah sekolah berasrama berhampiran padang golf itu.