Wabak anjing gila atau rabies yang dikhuatiri menular dalam lingkungan 10 kilometer di lima kampung di Serian ditangani semaksimum mungkin pihak berwewenang, tetapi banyak pihak masih waspada.

Rabies yang meragut nyawa dua kanak-kanak itu belum reda, namun penduduk di Kota Samarahan pula tiba-tiba dilanda bimbang (baru terasa hendak bimbang?).

Akhbar tempatan melaporkan berita yang belum sahih bahawa terdapat kes jangkitan Japanase Encephalitis (JE) di Taman Sentoria, Kota Samarahan seawal 23 Jun lepas.

Kesahihan seorang kanak-kanak yang didakwa positif JE itu, ketika artikel ini ditulis, masih belum disahkan kebenarannya oleh pihak berwewenang.

Laporan berita berkaitan JE berserta salinan surat dengan kepala surat Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bertarikh 4 Julai 2017 ditandatangani oleh Pegawai Kesihatan Bahagian, kini tular di laman sosial di Facebook termasuk aplikasi Whatsapp.

Jika surat yang tersebar itu benar, nampaknya dakwaan kes positif JE sudah pun wujud pada akhir Ramadan atau dua hari sebelum Aidilfitri lepas sebelum rabies menjadi perhatian hangat.

Surat dialamatkan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Muara Tuang, Kota Samarahan bertajuk “Pemberitahuan Kes Japanese Encephalitis di Taman Sentoria, Jalan Stakan dan Saringan Kanak-kanak dan Remaja 15 tahun ke bawah untuk status vaksinasi Japanese Encephalitis”.

Surat tersebut menjelaskan bahawa pejabat kesihatan setempat mengambil inisiatif mengawal kes tersebut sehingga 8 Julai iaitu berakhir Sabtu ini, dalam lingkungan 2 kilometer dari rumah murid terbabit serta sekolah yang dimaksudkan.

Memandangkan tarikh pengawalan yang didakwa sebagai “positif JE” berakhir sehari lagi menurut surat berkenaan, justeru tiada penularan dilaporkan dengan keadaan terkawal sepanjang dua minggu, memberi petanda baik kepada penduduk setempat.

Cuma, mereka yang bimbang mungkin bermaksud bahawa sekiranya berita ini benar, pasti masyarakat setempat akan lebih waspada, peka dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lepas yang sudah pun berlalu dengan “aman”.

Moral yang dapat dipelajari daripada maklumat yang ditularkan di media sosial seperti ini sekarang ialah, masyarakat atau netizen semakin waspada dengan penyebaran isi atau kandungan berita yang disebarkan.

Jadi, netizen semakin peka dengan “kesahihan” penyebaran berita sama ada benar atau tidak, lebih-lebih lagi apabila ia tidak disebarkan di media arus perdana secara konvensional, di akhbar atau radio dan televisyen.

Sebahagian netizen bertanya, jika berita seperti ini benar, kenapa ia tidak dilaporkan di media arus perdana agar lebih ramai masyarakat menyedari dan mengambil tindakan wajar?

Wajar masyarakat kita khususnya netizen yang aktif di internet khasnya di laman sosial atau kumpulan laman sosial yang dibentuk oleh sekumpulan rakan sebaya, dididik untuk mempertikaikan kesahihan sesuatu maklumat yang dikhuatiri hanyalah “khabar angin” atau hanya sekadar sebuah “grapevine”.

Berita tersebut mungkin tidak perlu ditolak mentah-mentah, akan tetapi ia memerlukan penyemakan dan pengesahan kebenarannya.

Di sini, admin atau netizen perlu diajar dan perlu belajar bagaimana menahan diri daripada bebas menggunakan hujung jari berkongsi cerita yang belum pasti.

Jadi, moralnya: “Tidak pasti jangan kongsi!”

Akhir sekali, menjadi tugas media arus perdana secara konvensional menyemak berita sahih dengan pihak berwewenang.

Ini bertujuan demi kebaikan dan kepentingan masyarakat, selain menjaga kredibiliti pihak media sendiri.

Kita sama-sama masih menunggu kesahihan berita berkaitan JE tersebut!

Jika benar, bersyukurlah kerana masa “pemerhatian” itu sudah pun berakhir, dan ambillah iktibar daripadanya iaitu “jangan mudah panik!” apatah lagi asyik ingin menyalahkan orang lain.

Jika tidak benar, baguslah.

Ingat, “Tidak pasti jangan kongsi!” dan ia seperti sudah pun dilakukan oleh kita dalam tempoh dua minggu itu.

Tiada sesiapa berkongsi kerana sibuk hendak menyambut Aidilfitri atau terlalu gusar dengan rabies?

Atau sebenarnya tiada sesiapa pun tahu wujudnya “khabar” tersebut yang berada dalam pengetahuan ahli keluarga mangsa, walaupun surat itu baru dikeluarkan Selasa lepas?

Biasanya orang yang ada maklumat selalu merasakan dirinya “sungguh berkuasa” dan mahu menjadi orang pertama menyebarkan maklumat berkenaan! Ini normal. – Sarawakvoice