Dr Awang Azman Awang Pawi

Apabila dianalisis  bahawa bulan September hingga November 2017 agak tipis kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU), maka tarikh yang dijangka pilihan raya umum ke-14 adalah pada bulan Mac 2018.  Justeru, dianalisis setiap bulan bagi melihat kemungkinan tarikh PRU diadakan.

Bukan Januari?

Januari ialah bulan  awal tahun baharu dengan kesibukan sekolah baru dibuka.  Ketika itu, urusan persekolahan  anak-anak ialah keutamaan ibu bapa, dan bukannya PRU.  Pada bulan ini juga fokus kepada perancangan tahun baru bermula, maka terlalu nipis untuk mengadakan PRU pada bulan tersebut.

Mustahil Februari?

Tak mungkin diadakan pada bulan Februari kerana  pada pertengahan bulan tersebut  perayaan Tahun Baru Cina. Maknanya tempoh dua minggu sebelum sambutan tahun baru Cina ialah persediaan menyambut perayaan manakala tempoh dua minggu  selepas tersebut suasana perayaan masih terasa. Jadi, tidaklah sesuai PRU diadakan pada bulan Februari.

Dijangka Mac atau April 2018?

Bulan Mac menjadi pilihan dan jangkaan kerana  merupakan bulan yang menjadi kebiasaan diadakan PRU meskipun pernah diadakan pada bulan November 1999.

Dalam tempoh lapan bulan ini, BN  pasti mempunyai masa yang cukup  untuk melakukan lebih banyak lagi program kesejahteraan rakyat,  menangani dan menangkis isu semasa di peringkat nasional dan negeri.  

Ketika itu juga terdapat cuti semester persekolahan.  Jadi, dalam tempoh  bulan ini lebih sesuai diadakan PRU.  

Kemungkinan bulan April juga ada sekiranya terdapat banyak lagi isu semasa  negara belum dapat ditangani dengan baik.  Namun, April  ialah pilihan  kedua, sekiranya bulan Mac terdapat banyak lagi  isu  semasa  belum dapat diselesaikan.

Hambatan Mei dan Jun

Namun  kemungkinan  mengadakan PRU diadakan pada bulan Jun ataupun Mei agak tipis. Mengapa? Hal ini kerana ia jatuh pada  perayaan orang Islam dan bumiputera Sabah dan Sarawak.  

Tentulah sukar bagi  mengadakan PRU ketika rakyat di Sabah dan Sarawak  sedang dalam suasana perayaan  Gawai atau Pesta Keamaatan bagi  meraikan perayaan etnik.

Tarikh  I Jun  ialah Gawai Dayak, manakala  30-31 Mei ialah  Pesta Keamatan. Tambahan pula, undi orang muda dikatakan lebih kritis dan sensitif kepada isu-isu negara.

Situasi boleh menggugat benteng BN di Sabah dan Sarawak.  Jadi, hasrat mengadakan PRU pada penghujung Mei dan awal Jun  perlulah dihindari berdasarkan situasi ini.  

Ketika itu juga, tarikh 15 Jun dan 16 Jun pula dijangka  menyambut hari raya Aidilfitri.

Pada sekitar pertengahan  Mei pula, iaitu pada 17 Mei 2018  ialah awal bulan Ramadan.  Sudah pasti PRU menyukarkan jentera parti bergerak terutama di kawasan kritikal di Semenanjung Malaysia.  Fokus pada bulan Ramadan adalah untuk beribadah.  

Tambahan pula,  BN lebih memerlukan masa  untuk berkempen  dengan lebih panjang dan pergerakan yang lebih lama untuk menarik dan menyakinkan lebih ramai pengundi agar terus bersama BN.  Pada masa ini BN hanya mendapat 47 peratus undi popular.

Tempoh Mandat?

Sebenarnya apabila mandat berakhir pada 24 Jun 2018 terdapat tempoh tertentu diberikan  untuk diadakan PRU. Hal ini bermakna tarikh PRU boleh dianjak  sehingga bulan Ogos 2018.

Namun,  tidak mungkin  diadakan pada bulan Ogos 2018 kerana dibimbangi terdapat isu-isu semasa negara yang sukar ditangani pada saat akhir.

Apa-apa pun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah  bersiap sedia membuat persediaan menghadapi PRU-14. Proses ini dikatakan telah bermula sejak setahun lalu. Namun,  sudah bersediakah Barisan Nasional dan pembangkang berdepan PRU ini? – Sarawakvoice