Bahasa Melayu tidak wajar dirobek dan dikompromi

KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara kontrak hampir menjadi ‘tragedi’ yang berpunca daripada sikap kerajaan sendiri.

Menurut Ketua Kenerangan  Dewan pemuda Pas, pihak kerajaan yang memulakan tindakan merendahkan martabat bahasa kebangsaan sebagai identiti sebenar bangsa dan negara.

Tindakan kerajaan melonggarkan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM mencetuskan kontroversi dan dikritik hebat oleh pelbagai pihak, termasuk pejuang bahasa Melayu sehingga menyebabkan kerajaan menarik balik kelonggaran berkenaan.

Kata Hishamuddin Abdul Karim,  syarat oleh JPA itu hakikatnya ialah ‘jelmaan’ daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Program Dwibahasa (DLP).

“Malah, sekiranya tidak dibendung atau dihentikan segera, ia akan menular kepada tuntutan lain yang mahu mengesampingkan atau meremehkan kepentingan BM,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sewajarnya dalam konteks pembinaan bangsa dan negara, soal ini tidak perlu dirobek dan dikompromikan lagi. Ia wajib berdiri sebagai ketetapan yang tidak harus digugat oleh sebarang keperluan. Sepatutnya, setiap pelaksanaan di dalam seluruh rangkaian sistem dan polisi harus berpaksikan kepada BM sebagai syarat dan keperluan utama yang dipertegaskan,” ujarnya lagi.

“Perkara melibatkan dasar negara dan kepentingan awam tidak harus menjadi pertaruhan atau tidak acuh dalam menanganinya. Ia juga sama sekali perlu dijauhi dari eksperimen politik dan dwi-standard yang mengundang ketidaksaksamaan dan ketidakharmonian. Jangan nanti kerajaan dilihat seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan’,” tambahnya.

“Oleh itu kami mengharap agar perkara ini menjadi pengajaran berguna buat kerajaan dan segera memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta tidak ‘memangsakan’ perkhidmatan dan penjawat awam atau pihak terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya lagi, langkah pembetulan oleh Kabinet mempertegaskan syarat wajib lulus sebagaimana diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam amat-amat dialukan.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya pihak kerajaan menyediakan mekanisme dan prasarana atau kemudahan bagi membolehkan peperiksaan berkaitan diadakan pada masa dan lokasi lebih banyak.

Antaranya ditawarkan dua kali setahun dan dijalankan juga di premis Kedutaan Malaysia di luar negara bagi calon-calon di luar negara. – Sarawakvoice