Sebutan semula kes pegawai polis tembak teman wanita pada 24 Julai depan

SERIAN: Mahkamah Majistret Serian hari ini menetapkan 24 hingga 28 Julai depan untuk sebutan semula kes bunuh seorang pegawai polis terhadap teman wanitanya di Kampung Kakai, 20 Mei lalu.

Hakim Marutin Pagan menetapkan tarikh tersebut bagi memberi masa kepada pasukan pendakwaraya untuk melengkapkan kertas pertuduhan.

Suspek, Mohammad Sohfian Abu Hassan, 36 tahun yang berasal dari Arau, Perlis merupakan Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga.

Dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang 21 Mei lalu, teman wanita mangsa yang dikenali sebagai Christie atau nama Islamnya,  Siti Nadirah Abdullah, 33 tahun, seorang ibu tunggal ditemui mati selepas ditembak menggunakan pistol.

Mangsa, dikatakan ditembak sejurus suspek memasuki bilik yang didiami pasangan tersebut sejak setahun lalu, sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan Proton Saga BLM berwarna putih.

Suspek bagaimanapun berjaya dicekup pasukan Siasatan Jenayah Berat D9 IPK Sarawak kurang enam jam kemudian hasil maklumat awam di kawasan pasar raya E-Mart Kuching.

Ketika ditangkap, suspek yang bersenjatakan pistol jenis Baretta tidak menunjukkan aksi agresif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice