KUCHING: Seramai 500 peserta, termasuk 300 peserta antarabangsa akan menyertai Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Borneo, Piala Ketua Menteri Sarawak pada 15 dan 16 Julai depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang julung kali diadakan ini akan menyaksikan para peserta bersaing merebut dua piala.

Ini termasuklah Piala Ketua Menteri Sarawak dan Piala Pusingan Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem.

“Sebanyak 17 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu Taiwan, Hong Kong, Laos, Kemboja, Singapura, Myanmar, Thailand, Vietnam, Indonesia, Nepal, China, Pakistan, Australia, Brunei, Filipina dan India.

“Tuan rumah, Malaysia akan menyediakan lebih 200 peserta,” katanya lagi dalam sidang media khas di pejabatnya hari ini.

Sebanyak 13 kategori akan dipertanding melibatkan acara perseorangan, berpasangan dan berkumpulan.

“Acara tempur pula melibatkan empat kategori berlainan termasuk kategori terbuka untuk lelaki dan wanita.

Kata Abdul Karim lagi, pihaknya amat menghargai penganjuran kejohanan-kejohanan seperti ini kerana ia sinonim dengan usaha mempromosikan aktiviti pelancongan sukan di Sarawak.

“Misalnya, selain atlet, turut hadir ialah para pegawai dan juri kejohanan, baik dari Malaysia mahupun luar negara.

“Dan ini tidak termasuk ahli keluarga mereka.

Sarawak katanya, bersedia menawarkan produk pelancongan yang eksklusif dan kondusif untuk tetamu istimewa ini.

“Saya juga berharap sukan ini akan dapat mempromosikan negeri ini, selain meningkatkan minat terhadap sukan taekwando dalam kalangan generasi baharu Sarawak.

“Dengan kejayaan hebat pada Sukan Malaysia pada tahun lalu, dan penguasaan positif di pelbagai kejohanan peringkat umur, saya percaya penganjuran aktiviti ini mampu mendorong Sarawak mencapai sasarannya untuk muncul sebagai “kuasa baharu sukan’ di Malaysia.” – Sarawakvoice