Siapa dikorbankan oleh Masing untuk Doris? Joseph Salang atau Nyallau Badak

Berdasarkan bahasa badan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta pertemuan empat mata di lokasi tertutup di kediaman Tan Sri Dr James Masing dua hari lalu, Datuk Seri Doris Sophia Brodie jelas akan berada dalam senarai calon Barisan Nasional, mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Menjadi persoalan sekarang, siapa yang bakal dikorbankan oleh Masing?

PRS mempunyai enam kerusi di Parlimen iaitu Datuk Masir Kujat di Parlimen P202 Sri Aman, Datuk William @ Nyallau Badak di P203 Lubok Antu, Datuk Joseph Salang Gandum di P209 Julau, Datuk Aaron Ago Dagang di P210 Kanowit, Datuk Joseph Entulu Belaun di P214 Selangau dan Datuk Wilson Ugak Kumbong di P216 Hulu Rajang.

“Saya doakan kalau ada kerusi lebih, tetapi tidak ada.

“Kami perlu melakukan perubahan, dan dalam konteks ini, 20 peratus daripada calon harus ditukar,” kata Masing ketika diasak wartawan sejurus pertemuan tersebut.

Kata Masing, dengan melakukan perubahan, parti itu akan kekal malar segar.

Menurut seorang pemerhati politik yang juga anggota kanan dalam PRS, biar berhadapan sengketa politik dengan Timbalannya, Masing tidak akan menggugurkan Joseph Entulu, biarpun hatinya bergejolak untuk berbuat demikian.

Joseph Entulu merupakan pemimpin senior dan agak berpengaruh di dalam parti itu, dan sebarang silap langkah Masing boleh membawa padah.

Malah Joseph Entulu yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri memiliki ikatan yang rapat dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak, selain dengan Ahmad Zahid dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Justeru tidak ada alasan untuk beliau menggugurkan Joseph Entulu, yang jelas begitu kukuh dan utuh di Selangau.

“Jika ada pihak mempersoal perkahwinan terbaharunya, itu bukan pandangan matang dan berfikiran sempit.

“Ia perkara peribadi yang tidak seharusnya dicampuradukkan dengan politik.

Selain itu, kedudukan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat juga agak terjamin kerana Dr Ahmad Zahid sendiri awal-awal lagi telah mengutarakan jaminan.

Jika hasrat Masing diteruskan untuk meletakkan calon wanita sulung untuk parti itu, dua kerusi yang mungkin menjadi tumpuan ialah di Julau dan Lubok Antu.

Kata pemerhati politik itu lagi, Datuk Joseph Salang Gandum pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mahu dicalonkan lagi sekiranya beliau tidak dilantik sebagai menteri penuh.

Perkara yang sama menyebabkan beliau menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada 2013.

Salang, 67 tahun, mula menjadi Ahli Parlimen sejak 1999 atas tiket Parti Bansa Dayak Bersatu (PBDS) menggantikan Datuk Sng Chee Hua. Pada tahun 2013, beliau menyertai PRS selepas pendaftaran PBDS dibatalkan.

Jelas pemerhati itu lagi, turut pernah menyatakan hasrat untuk berundur ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyallau Badak.

Nyallau mula menjadi ahli parlimen pada 2008, bagi menggantikan Jawah Gerang.

Pada tahun tersebut, beliau mengalahkan Nicholas Bawin Anggat, sebelum mengekalkan kedudukannya pada pilihan raya 2013 dengan mengalahkan Larry Sng Wei Shin.

Siapa pun pilihan untuk digugurkan oleh Masing, beliau perlu berfikir panjang dan tidak berserabut dengan emosi. Yang penting, calon yang dipilih itu kelak adalah calon boleh menang, dan mampu mengangkat suara rakyat.

Dan yang digugur kelak harus menerima keputusan dengan hati tenang, bukan membakar jambatan seperti yang pernah berlaku kepada parti komponen BN yang lain. – Sarawakvoice