Pas: Dituduh bersekongkol dengan Umno tak apa, asal tidak bersekongkol dengan penjilat darah umat Islam

KUALA LUMPUR: Pas berkata, sejarah membuktikan Amerika Syarikat  (AS) tidak pernah jujur dalam menangani sesuatu isu yang melibatkan negara umat Islam.

“Pepatah Melayu ‘keluar dari mulut harimau masuk pula kemulut naga’, inilah pepatah yang paling sesuai dalam menjawab cadangan agar pihak luar campur tangan dalam isu 1MDB,” kata Pesuruhjaya Pas Pahang dalam satu kenyataan sebagai mengulas tindakan AS campur tangan dalam isu 1MDB.

Kata Rosli Abdul Jabar,  sejak awal, Pas mencadangkan supaya Suruhanjaya Diraja ( RCI) ditubuhkan dengan kadar segera supaya isu itu dapat diselesaikan dengan adil dan telus.

Selain itu, katanya lagi, rakyat dapat melihat fungsi Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya pencecahan Rasuah Malaysia  (SPRM), Jabatan Audit Negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan intitusi kehakiman negara sebagai intitusi yang benar-benar berwibawa dalam menjaga kesejahteraan negara dan rakyat.

“Kegagalan menubuhkan RCI pasti menyebabkan isu ini akan berlarutan dan yang paling parah ialah ianya melibatkan jumlah kewangan negara/rakyat yang besar, yang pastinya rakyat yang berhadapan dengan risiko kesan dari isu tersebut, kerana itu Pas  mahu isu ini diselesaikan dengan kadar segera supaya isu 1MDB tidak berlaku sebagaimana isu skandal BMF, Perwaja dan Forex, tidak termasuk lagi isu-isu yang lebih kecil dari itu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pas juga sekali gus menolak campur tangan negara luar terutama Amerika yang tidak pernah kelihatan jujur dalam menangani isu negara umat Islam,” jelasnya.

Menurutnya, sudah cukup umat Islam berkiblatkan kepada mereka yang sentiasa membasuh tangan mereka dengan darah umat Islam.

Ujarnya, perjuangan Pas ialah Islam, tidak kira dalam apa-apa rupa bentuknya termasuk dalam membina kerangka ekonominya juga jalan penyelesaiannya, apa-apa juga tindakan yang boleh mendatangkan mudarat atau mudaratnya lebih besar kepada negara mestilah ditolak.

Itulah sebabnya, tambahnya, presiden Pas Datuk Seri  Abdul Hadi Awang bertegas dalam kenyataannya supaya jangan ada campur tangan asing dalam menangani kemelut negara.

Katanya, Abdul Hadi ialah pimpinan gerakan Islam bertaraf dunia dan telah melihat kesannya kepada negara-negara Islam lain apabila berlakunya campur tangan AS.

Dakwanya, penegasan inilah yang menyebabkan Pakatan Harapan menuduh kononnya Pas terpalit sama dengan isu kewangan 1MDB, dan kononnya Pas bersekongkol dengan Umno.

Namun bagi ahli Pas,  kata Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur, musuh Pas pasti akan sentiasa mencuri peluang untuk memburukkan parti Islam itu.

Namun, tegasnya, bagi Pas dituduh bersekongkol dengan Umno tidak mengapa kerana itu ialah tuduhan, asalkan tidak cuba bersekongkol dengan AS yang merupakan penjilat darah umat Islam. – Sarawakvoice