‘Mengapa dulu menyinga terhadap Mahathir, tetapi kini membisu?’ tanya Pas kepada Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pemuda Pas hari ini meminta supaya pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang tidak terus berhelah dan berdolak dalih serta mengelak dengan membesar-besarkan isu lain sedangkan perkara itu amat serius yang secara nyata mengundang campur tangan asing.

Malah, kata Ketua Penerangannya, Lim Guan Eng, anak Kit Siang juga seakan membayangkan DAP tidak bermasalah sekalipun wujud tindakan ketenteraan ke atas negara ini.

“Apakah anda sebagai Ahli Parlimen Malaysia rela dengan campur tangan seperti itu?,” tanya Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Hishamuddin Abdul Karim dalam satu kenyataan.

Ujarnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memperjuangkan isu kleptokrasi perlu diinterpretasikan juga olehnya terhadap dakwaan rasuah sebanyak USD5 juta yang dilakukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin kepada Yayasan Clinton untuk campur tangan dalam isu 1MDB.

“Ia sebagaimana rahsia yang ‘dibocorkan’ Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya.

Tambahnya, Kit Siang dilihat dalam dilema kerana Mahathir yang pernah menjadi musuh ketatnya dahulu, tetapi kini ialah sekutu akrabnya untuk menerajui dan melayari bahtera Pakatan Harapan.

Malah, ujarnya, Kit Siang seakan terkedu apabila hanya mendiamkan diri berhubung skandal mata wang asing yang berlaku pada tahun 1992 atas Bank Negara Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan ketika itu beliau paling menyinga untuk mendakwa Mahathir,” katanya menyindir Kit Siang.

“Isu itu belum selesai hingga 20 tahun selepas itupun iaitu pada tahun 2012 lalu, Kit Siang masih mengulangi penegasannya untuk siasatan tetap diadakan. Tiba-tiba sekarang beliau bukan sahaja seperti telah ‘menyucikan’ Mahathir,” katanya.

Malah katanya lagi, Kit Siang sering dilihat bersama termasuk merancang pembahagian kedudukan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri andai Pakatan Harapan berkuasa memerintah.

“Bahkan terdahulu, langsung tidak menyatakan sikap terhadap skandal rasuah yang membabitkan Guan Eng,” tambahnya.

“Mungkin kerana Kit Siang juga sepakat untuk melihat campur tangan asing semata-mata halobanya menguasai pemerintahan, maka dia merestui tindakan kleptokrasi Mahathir dan kecenderungan anaknya Guan Eng berkait tindakan ketenteraan itu,” jelasnya.

Jika demikian, kata Hishamuddin, sikap Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut dapat dianggap sebagai tidak setia dan pengkhianatan kepada negara di mana, dan kecurangan itu perlu diberi perhatian serius oleh rakyat dan pihak berkuasa negara. – Sarawakvoice