Berita Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 mencetuskan kontroversi yang bukan kepalang.

Hal ini memang wajar.

Mana mungkin syarat sedemikian penting dilonggarkan hanya untuk memastikan calon berkenaan dapat menjadi doktor.

Kelulusan itu dikatakan diberikan kepada KKM pada 23 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, semua siswazah perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun, diberi kelonggaran kepada syarat Lulus BM ini.

Memang hebat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lagi hebat pemimpin politik yang membenarkannya.

Inilah satu-satunya negara yang membenarkan hal sedemikian berlaku.

Sesungguhnya, tak ada negara lain di dunia yang berbuat demikian terhadap bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya.

Seyogia diingat, Jerman, Korea, Jepun, waima Indonesia dan Thailand tidak akan membenarkan perkara begini berlaku.

Mungkinkah negara Amerika Syarikat dan Perancis membenarkan doktor yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis menjadi doktor di negara itu?

Tidak mungkin.

Di Malaysia segalanya serba boleh. Hanya untuk mengambil hati pihak atau kaum tertentu.

Malah, syarikat tertentu milik kaum tertentu di negara ini tidak akan melonggarkan syarat perlunya calon yang fasih dalam bahasa tertentu.

Syaratnya ialah mesti fasih bahasa Mandarin!

Tentu para pejuang bahasa, menerima berita ini dengan rasa sedih. Sebab, hakikatnya, menjadi tugas dan tanggungjawab rakyat dan warganegara ini untuk mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan negara ini.

Tidak ada tolak ansur terhadap perkara ini.

“Apakah KKM sekali lagi tunduk kepada desakan ekstremis bangsa lain?” Demikian pertanyaan dikemukakan sebuah portal.

Pegawai Perubatan UD41 ialah kumpulan pengurusan dan profesional sama seperti UD43, UD47, UD51 dan UD53. Gaji UD41 adalah antara RM2,947 hingga RM9,656. Mereka menerima kenaikan tahunan sebanyak RM225.

Syarat lantikan, antara lain seperti ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ialah, warganegara Malaysia; berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan; dan memiliki ijazah dalam ilmu perubatan yang diiktiraf kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya serta telah berdaftar sementara atau penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Sebagaimana untuk menjawat jawatan lain, syarat kelayakan Bahasa Melayu diwajibkan.

Jadi, apa istimewanya golongan ini?

Doktor di negara ini tidak boleh tidak lulus dan tidak faham bahasa Melayu.

Sama seperti mana mungkin pemimpin politik di negara ini tidak faham dan tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.

Jangan beri alasan, mereka belajar dalam bahasa Inggeris dan belajar di luar negara. Itu alasan yang amat dangkal dan angkuh.

Amat jelas sekali, kehendak Perlembagaan Negara yang menobatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. 

Tidakkah pelik apabila kerajaan sendiri mengabaikan syarat berkenaan?

Masalah di negara ini ialah, terdapat pemimpin politik yang bukan tidak berakal, tetapi pemimpin politik yang berakal singkat. – Sarawakvoice