Kerajaan Pusat hantar 6,000 dos vaksin rabies ke Sarawak

SITIAWAN: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menghantar 6,000 dos vaksin penyakit anjing gila atau rabies ke Sarawak, semalam.

Ia sebagai usaha untuk mengekang penularan penyakit itu yang setakat ini mengorbankan dua nyawa, dan seorang lagi masih kritikal.

“Vaksin berkenaan akan diberikan kepada anjing dan kucing yang tidak dijangkiti rabies di tiga kampung di Serian.

“Ketika ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengenal pasti 160 anjing dan 180 kucing dalam radius satu kilometer di kawasan terbabit yang boleh diberikan vaksin berkenaan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut, yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kampung Acheh, di sini.

Foto Bernama

Kata Shahbery, pihaknya juga menghantar empat pegawai veterinar ke lokasi bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memantau keadaan.

“Semua anjing dan kucing yang menunjukkan gejala tidak sihat atau sakit akan dipantau dalam masa 10 hari ini bagi memastikan mereka bebas daripada rabies sebelum pemantauan diperluas meliputi radius enam kilometer dari kampung terbabit,” katanya lagi. – Sarawakvoice