MUKAH: Di sebalik pelbagai spekulasi  hangat tentang calon bagi Parlimen Mukah, nama Datuk Hanifah Hajar Taib tiba-tiba muncul sebagai calon paling berpotensi mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan yang ditemui di sini semalam,  nama anak bekas Ketua Menteri yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud tiba-tiba muncul bagai ‘kuda hitam’ dalam seminggu dua ini.

Hal ini, kata sumber itu lagi, meletakkan enam nama lain yang disebut-sebut sebelum ini dalam teka-teki.

Semalam Sarawakvoice menyenaraikan enam calon berpotensi yang disebut-sebut di akar umbi – Datuk Sulaiman Hussaini, Datuk Dr Maliki Mahli, Dr Anthony Valentine Laiseh, Faridah Othman, Sulaiman Sahari, dan Paul Druce.

Kata sumber itu, Hanifah kelihatan dalam majlis Hari Raya Aidilfitri Sabtu lalu bersama-sama dengan ayahnya dan juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Dr Leo Michael Toyad yang bakal digugurkan.

Satu sumber berkata, kali ini Hanifah dikatakan bersetuju jika dicalonkan.

“Beliau duduk di sebelah Leo di satu acara menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri, dan Leo sendiri difahamkan turut bersetuju Hanifah diangkat menjadi calon,” dakwa sumber berkenaan, tanpa mengulas lanjut.

Mukah merupakan kubu kuat Barisan Nasional, dan tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang sejak 1960-an lagi.

Sebelum ini, nama Hanifah turut disebut-sebut sebagai calon Dewan Undangan Negeri Balingian menjelang pilihan raya negeri Mei tahun lalu.

Hanifah, 43, memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor swasta, dengan kini dikatakan menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat.

Beliau juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita Bahagian Sarawak.

Hanifah, Penasihat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ialah Ahli Majlis Penasihat dan Perunding Wanita (MPPW).

Hanifah ialah lulusan BSc dalam Pentadbiran Perniagaan dari University of San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 1992.

Sesetengah pihak yang ditemui di sini berkata, harap pisang tidak berbuah dua kali di kawasan ini.

Mereka mengharapkan calon anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan Mukah, dan bersedia untuk berdamping dengan rakyat perlu diutamakan oleh PBB.

“Selain itu, wakil rakyat berkenaan nanti hendaklah orang yang memahami aspirasi dan masalah rakyat tempatan, dan dapat menyampaikan pendiriannya tanpa gentar di Parlimen,” katanya, sambil menambah, pengundi tidak mahu wakil rakyat bisu untuk mewakili mereka. – Sarawakvoice