Adakah ahli politik kita berasa jelik berbahasa Melayu?

KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa terdapat Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di negara ini  yang gagap beucap dalam bahasa Melayu sama ada ketika berucap di Dewan atau di hadapan media bukan rahsia lagi.

Mereka ini bukan main lancar berucap dalam bahasa Inggeris, tetapi gagap ketika berucap dalam bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata keadaan ini amat menyedihkan.

“Ia menimbulkan persoalan: Adakah mereka tidak bergaul dalam satu masyarakat kepelbagaian bangsa? Atau mereka merasa jelik berbahasa Melayu tetapi bangga berbahasa Inggeris?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kenapa mereka boleh mempelajari Bahasa Inggeris sedang gagal untuk menguasai Bahasa Melayu?,” tanya  Mohd Khairuddin.

Ujarnya, sebagai perbandingan warga asing seperti Bangladesh dan Myanmar dapat berbahasa Melayu dengan fasih dalam tempoh enam bulan bekerja di Malaysia, namun ia tidak boleh dilakukan oleh sebahagian ahli politik.

Malah,  ‘Mat Dang Pulau Redang’, orang berkulit putih dari United Kingdom, katanya, amat fasih dalam dialek Terengganu setelah hanya setahun bermukim di Terengganu.

Beliau kini menjadi ikon di media elektronik.

Beliau menzahirkan kebimbangannya, masih terdapat rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di Malaysia, tetapi masih tidak dapat berbahasa Melayu sehingga pada usia dewasa.

Kenyataan beliau sebagai mengulas tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi kelonggaran syarat kepada calon doktor perubatan dari segi kelayakan bahasa Melayu.

Ahli politik yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi hanya terdapat di Malaysia.

Kata pemerhati, ahli politik Malaysia terbabit tentu malu besar jika melihat bagaimana fasihnya Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berucap dalam bahasa Melayu. – Sarawakvoice