PRU-14: 6 calon berpotensi ganti Leo di Mukah, termasuk 3 pemegang PhD

MUKAH: Terdapat sekurang-kurangnya enam calon berpotensi, termasuk tiga orang lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi menggantikan penyandang bagi kerusi Parlimen Mukah, Datuk Seri Dr Leo Michael Toyad dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Leo yang menjadi Ahli Parlimen Mukah selama 35 tahun hampir pasti digugurkan kepemimpinan parti atas sebab sudah telalu lama mewakili kerusi majoriti Melanau itu, selain prestasi yang buruk terutama dalam tempoh empat tahun lalu.

Datuk Seri Dr Leo Michael Toyad (Foto Twitter)

Tiga orang pemegang PhD yang kini disebut-sebut di akar umbi ialah Datuk Sulaiman Hussaini, Datuk Maliki Mahli dan Dr Anthony Valentine Laiseh. Sulaiman dan Anthony merupakan pegawai tinggi kerajaan manakala Maliki ialah ahli perniagaan.

Nama lain yang turut disebut-sebut sebagai pengganti Leo ialah Paul Druce, Sulaiman Sahari dan Faridah Othman.

Paul dan Sulaiman ialah ahli perniagaan, manakala Faridah merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak.

Nama Faridah pernah disebut-sebut sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian tahun lalu tetapi akhirnya kerusi itu diwakili Yaakub Arbi.

Pada ketika ini dikatakan nama Sulaiman Hussaini dan Anthony berada di penarafan tertinggi, namun pengamat politik berkata, pengundi di Mukah tidak harus terkejut jika calon ‘kuda hitam’ akan mencelah memintas calon-calon lain.

PRU-14 dijangka diadakan pada Mac tahun depan. – Sarawakvoice