Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelantikan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 mengejutkan banyak pihak.

Adakah kerajaan bersedia untuk melonggarkan syarat berkenaan semata-mata untuk memastikan tekanan pihak tertentu?

Adakah kita sudah terlalu terdesak, maksudnya tidak punya cukup doktor sehingga bersedia mengorbankan syarat penting, iaitu lulus SPM dalam Bahasa Melayu?

Tindakan ini bukan sahaja tidak wajar, malah boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Siapa yang memberi kebenaran itu?

Harus diingat doktor ini akan bekerja di hospital di negara ini dengan rakyatnya rata-rata bertutur dalam bahasa Melayu, terutamanya di luar bandar.

Tidak usahlah kita terlalu bermurah hati dengan melonggarkan syarat asas itu yang memberi isyarat dan makna yang tidak baik kepada rakyat. Dan juga terhadap imej dan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Dengan memberi kelonggaran itu, implikasinya ialah bahasa Melayu tidak perlu lulus dan tidak penting dikuasai.

Bayangkan doktor yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu?

Cukuplah kita punya pemimpin politik yang tidak pandai bahasa Melayu. Bayangkan pemimpin politik yang tidak pandai bahasa Melayu di negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, bahkan bahasa Melayu dituturkan majoriti rakyat, termasuk di kawasan diwakili pemimpin politik berkenaan?

Dan, wakil rakyat berkenaan tidak fasih bahasa Melayu.

Atau mereka perlukan penterjemah untuk memahami penyakit yang dihidap pesakit?

Atas apa-apa alasan pun, langkah yang diambil itu, sebenarnya bukan membayangkan keputusan yang tidak berakal tetapi keputusan pendek akal.

Pihak bertanggungjawab sanggup mengetepikan agenda negara semata-mata mahu memastikan pelajar perubatan berkenaan dapat menjadi doktor di negara ini, sedangkan banyak lagi pelajar perubatan yang lulus alam bahasa Melayu.

Siapa yang sebenarnya menghina dan memperlekeh bahasa Melayu kalau bukan pemimpin politik sendiri, termasuk pemimpin Melayu.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara itu dan pelajar perubatan terbabit sepatutnya berasa malu dengan keputusan berkenaan.

Ini sahaja sebenarnya negara yang memberi keistimewaan sedemikian.

Negara-negara lain tidak akan memberi kelonggaran syarat sedemikian, baik di Jepun, Korea, Jerman, Itali, Perancis, Indonesia, Thailand, dan ratusan lagi negara.

Inilah yang dikatakan ‘Malaysia Boleh’.

Persetankan dengan segala keputusan itu. – Sarawakvoice