Lim Guang Eng anjur larian ‘Penang Run’ di Selangor, Azmin anjur majlis Terbuka Hari Raya!

Pada 29 Jun 2017, Menteri Besar Selangor Azmin Ali menaikkan iklan Rumah Terbuka Eidul Fitr Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada hari Ahad 2 Julai 2017.

Majlis yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu diadakan di Majlis Perbandaran MPAJ Pandan Indah.

DYMM Tuanku Sultan Selangor, Tengku Permaisuri dan Raja Muda Selangor turut sama memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut.

Seperti di negeri-negeri lain, apabila Sultan hadir ke sesuatu majlis anjuran kerajaan negeri, ahli-ahli exco, anggota parlimen dan Adun kawasan berkenaan dan pemimpin kanan parti komponen biasanya hadir sama.

Tetapi itu semua tidak berlaku pada majlis anjuran Azmin di Pandan Indah pada Ahad lalu.

Exco kerajaan negeri, speaker kerajaan negeri, ahli parlimen dan Adun di kawasan berkenaan tidak kelihatan.

Apabila majlis tersebut diadakan di kawasan Parlimen Pandan, tentunya para tetamu yang hadir terlintas di benak mereka untuk melihat kelibat Rafizi Ramli yang juga salah seorang pemimpin kanan PKR yang sama parti dengan Azmin.

Iskandar Abdul Samad (Adun Cempaka, juga exco perumahan) dan Tiew Way Keng (Adun Teratai), kedua-dua terletak dalam Parlimen Pandan tidak kelihatan pada majlis berkenaan.

Semua itu nampaknya tidak menghalang Azmin Ali memuat naik komen berikut dalam fb beliau: “Memang terasa meriahnya Eidul Fitri tahun ini. Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang hadir menjamu selera pada Rumah Terbuka Eidul Fitr Negeri Selangor”.

Seterusnya, ada yang bertanya mana perginya pemimpin kanan PKR dan DAP Selangor seperti Sivarasa Rasiah, Hannah Yeoh, Tony Pua, Ong Kian Ming dan lain-lain?

Kenapa mereka tidak hadir sama memeriahkan majlis yang dianjurkan oleh Azmin Ali?

Rupanya pada hari yang sama (2 Julai 2017), DAP menganjurkan ‘I Love Penang Run @ Selangor’, yang diadakan di Central Park Bandar Utama. Tetamu kehormat di majlis tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng.

Lim Guang Eng, I Love Penang, dan Selangor? Tidak berapa logik bukan? Mungkin ada yang bertanya sudah tidak ada tempatkah di Pulau Pinang sehingga ‘Penang Run’ perlu dibuat di Selangor?

Bukankah ini menyusahkan para penyokong Guang Eng dari Pulau Pinang untuk turun beramai-ramai ke Selangor?

Beberapa tokoh DAP Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur seperti Ong Kian Ming, Steven Sim dan Lim Lip Eng dengan bangganya memuat naik gambar mereka menyertai acara tersebut di media sosial.

Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh pemimpin DAP Selangor sebenar? Adakah kepada mereka kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali dan DYMM Sultan Selangor tidak penting?

Tidak bolehkah acara tersebut dibuat pada suatu tarikh lain agar tidak bertembung dengan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan negeri?

Selepas menyertai acara larian di sebelah pagi, antara jam 2-4 petang, Lim Guang Eng hadir ke acara pelancaran buku biografi komik mengenai beliau di 1Utama Shopping Centre. Agak padat jadual Lim Guang Eng di Petaling Jaya pada Ahad kelmarin.

Melihat kepada acara yang diatur buat Lim Guang Eng, beliau seolah-olah Sultan dan Ketua Menteri di dua buah negeri, Pulau Pinang dan Selangor, khasnya kepada pendukung DAP. – Sarawakvoice