KDN teliti kes DUN Pujut — Zahid Hamidi

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memperhalusi isu dwikerakyatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dan mengenal pasti langkah yang akan diambil terhadapnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah-langkah tersebut bagaimanapun akan diperincikan setelah pihak berkuasa negeri, terutamanya DUN Sarawak mengambil beberapa langkah susulan berhubung kes tersebut.

“Ini termasuklah soal rayuan yang akan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang lalu yang berjaya menyingkirkan keputusan DUN Sarawak,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi tadi.

Katanya, perkara ini akan dibincangkan pada masa yang sesuai, selepas semua proses rayuan tersebut berlangsung.

Dr Ahmad Zahid diminta mengulas status terkini isu Tiong Choon, susulan laporan polis mengenainya oleh penduduk dan pengundi Dun Pujut yang berasa tertipu oleh status kerakyatan Adun tersebut.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 pada 7 Mei tahun lalu, Tiong Choon menang kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Beliau memperoleh 8,899 undi menumpaskan calon BN, Hii Kong Chiong (7,140 undi), Jofri Jaraiee (Pas – 513 undi) dan penyandang, Fong Pau Teck (Bebas – 375 undi).

Tiong Choon pada Mei lalu telah disingkirkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melalui undian 70 menyokong dan 10 menentang susulan usul dwikerakyatannya yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Keputusan itu bagaimanapun dicabar di Mahkamah Tinggi Kuching oleh Tiong Choon, pada 17 Jun lalu yang akhirnya memihak kepada wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.

Susulan keputusan itu, DUN Sarawak kemudian memaklumkan bahawa pihaknya menerusi Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid akan memfailkan semula kes itu di Mahkamah Rayuan, dalam tempoh 30 hari yang diperuntukkan. – Sarawakvoice