Berita tiada empangan tiada jalan tersilap sedikit, semua kawasan di S’wak akan ada jalan — Masing

KUCHING: Berita “Tiada empangan tiada jalan” yang disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini menjadi perbualan di kalangan rakyat dan netizen di media sosial.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing menyifatkan tajuk berita tersebut “tersilap sedikit” dan ia tidak menggambarkan isi berita yang dimaksudkan beliau.

Masing yang juga Menteri Pengangkutan dan Pembangunan Infastruktur dan Pengangkutan berkata, sangat jelas tidak seperti yang digambarkan oleh berita berkenaan, bahawa berkaitan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sememang tiada empangan pada penghujung jalan tersebut.

Bercakap selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Gawai di kediaman beliau, Masing berkata bahawa beliau menekankan kesudahannya memang semua tempat di Sarawak akan dibina dengan jalan raya.

Bagaimanapun, menurut Masing, oleh kerana kekurangan sumber kewangan, tumpuan pembinaan jalan raya tertumpu kepada kawasan penting terlebih dahulu.

Ini kerana kos pembinaan jalan raya sangat mahal.

Masing memberi contoh, jika sesuatu kawasan tersebut boleh dibangunkan dengan pertanian, jalan raya yang dibina itu nanti akan ditanggung kosnya daripada hasil pertanian itu sendiri.

Justeru, sama seperti jalan raya ke Bakun, jalan raya itu membayar untuk dirinya sendiri kerana kosnya datang daripada wang Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun.

Merasionalkan andaian dan contoh tersebut, Masing berkata, hal ini sama dengan HEP Baleh kerana kos membina jalan raya ke Baleh menelan RM2 bilion.

Jadi, dengan pembinaan HEP Baleh, secara tidak langsung empangan berkenaan membayar kos pembinaan jalan raya tersebut dengan sendirinya.

Masing berkata, untuk jangka panjang, meskipun ada tempat yang tiada empangan, kerajaan akhirnya akan tetap membina jalan raya, tetapi ia mengambil masa.

Bezanya sekarang, dengan wujudnya sesuatu projek komersial di sesuatu kawasan misalnya ada empangan di kawasan tersebut, maka pembinaan jalan raya disegerakan kerana kos binaannya dibiayai kos hasil projek berkenaan.

HEP Baleh yang mendapat sokongan penduduk, kini dalam pembinaan dengan sebahagian pakej telah dianugerahkan, manakala jalan penghubung dari Kapit ke Ulu Baleh dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. – Sarawakvoice