Pandangan anak muda: Rapatkan jurang Sabah, Sarawak dengan Semenanjung

Hari ini, pada tahun 2017 di mana bahang Pilihan Raya Umum kali ke-14 (PRU-14) semakin panas membara di seluruh pelosok negara, nampaknya suara perihal jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak masih gagal dibisukan.

Melalui satu tinjauan rawak yang dibuat oleh kru eRakyat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang menuntut di Semenjaung mendapati majoriti daripada mereka bersetuju bahawa masih wujud jurang yang ketara antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Sudah pasti, jurang yang menjadi jarak pemisah itu adalah dari segi pembangunan. Erika Farisha Gilbert Mukmin, 20, yang sudah tinggal di Semenanjung selama dua tahun sejak di hari permulaan pengajiannya mendapati bahawa pembangunan infrastruktur di semenanjung sangat berbeza dengan Sabah dan Sarawak.

Perbezaan tersebut menurutnya dapat dilihat secara jelas pada sistem pengangkutan, kemudahan asas dan khidmat perbandaran.  Dan yang paling dikesali menurutnya, meskipun dari segi geografinya, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang lebih besar daripada Semenanjung namun, hospital awam jauh lebih sedikit berbanding yang ada di semenanjung.

“Pada saya jurang paling ketara antara Sabah dan Semenanjung adalah dari segi pembangunan infrastruktur termasuk dari segi sistem pengangkutan, kemudahan asas dan khidmat perbandaran.

“Yang paling ketara, jumlah hospital di sini (Semenanjung) senang dijumpa, berbanding di Sabah. Padahal Sabah tu negeri besar berbanding Semenanjung,” katanya.

Begitu juga dengan siswi yang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam, Avonlea Christy Lajangang, 21,  yang melihat kemudahan pengangkutan di sini jauh lebih maju jika dibandingkan di negeri kelahirannya, Sabah.

Antara kemudahan yang paling mendapat perhatian oleh Avonlea, yang sepatutnya turut ada di Sabah, adalah tren dan jejambat bagi melancarkan serta memudahkan lagi akses dari satu tempat ke suatu tempat.

“Tapi dari segi pembangunan, saya rasa Sabah agak terpinggir. Paling ketara sistem pengangkutan awam. Selain ketiadaan tren seperti LRT dan sebagainya, jejambat untuk elak kesesakan di bandar-bandar utama juga kurang kalau di Sabah,” katanya.

Kepelbagaian jenis pengangkutan awam tersebut, merupakan perkara yang sangat ketara bagi menunjukkan perbezaan antara semenanjung dan Sabah. Demikian menurut Rowina Shenel Jerry, 20, siswi yang menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa(IPGKBA), apabila ditanya berkenaan jurang pemisah antara semenanjung dan negeri kelahirannya.

“Selepas duduk di sini selama hampir dua tahun, apa yang boleh saya lihat di Semenanjung ini sistem pengangkutannya lebih bagus, lebih ke hadapan berbanding Sabah.

“Di Sabah, untuk mendapatkan akses ke suatu tempat, lebih sukar berbanding dengan semenanjung. Antara yang paling ketara, di sini(semenanjung) adanya pelbagai jenis pengangkutan awam seperti tren,” katanya.

Bagi mengurangkan atau menghapuskan terus jurang tersebut, kesemua mereka yang ditemui mempunyai pendapat yang sama, iaitu agihan ekonomi perlu dibuat secara adil dan tepat kepada negeri negeri di semenanjung dan Sabah, Sarawak.

Sebagai contoh, Michwel, 21, yang juga penuntut di  Politeknik Shah Alam berpendapat bahawa kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih progresif bagi memastikan agihan ekonomi ini berjalan dengan sempurna.

“Nampaknya dari segi pembangunan, Sabah ni agak tersisih jugalah. Nampak ada pilih kasih sedikit antara Borneo dengan Semenanjung. Untuk merapatkan jurang perbezaan ni, kerajaan Persekutuan perlu lebih progresif dariapda sekarang,ratakannya ke seluruh negara. Semua negeri perlu disamakan,” katanya.

Pendapat yang sama juga turut dikongsikan oleh penuntu institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa(IPGKBA), Siti Manisyah Mansah, 21 yang mahu agihan ekonomi ke Sabah dan Sarawak, dibuat secara seimbang agar kedua negeri ini tidak lagi tercicir daripada arus pembangunan yang semakin deras.

Justeru, sebagai kumpulan atau golongan yang menjadi tulang belakang serta bakal mengemudi kepimpinan negara pada masa hadapan, seperti yang diakui oleh umum, suara atau pandangan kumpulan pelajar ini tidak boleh dipandang enteng. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan, bagi membendung jurang pemisah antara tanah Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.