[Belasungkawa] Saya redha jika rezeki saya setakat ini — Datuk Daud Abdul Rahman

“Saya redha jika rezeki saya setakat ini. Dan saya gembira, kerana sepanjang perkhidmatan, saya telah melaksanakan amanah yang diberikan,” kata Datuk Daud Abdul Rahman, ketika wawancara khas bersamanya lebih setahun lalu.

Ketika itu beliau masih dalam pemulihan penyakit ‘stroke’ yang dialaminya. Dan berkat kesungguhannya, bekas Adun Tupong ini pulih dengan cepat, biarpun tidak sepenuhnya.

Beliau mula dikesan diserang penyakit angin ahmar ketika dalam perjalanan menghadiri majlis Aidilfitri anjuran salah sebuah agensi di bawah seliaannya.

Menyedari keadaan ‘bosnya’ yang terherot wajahnya ketika itu, pemandu Datuk Daud yang dikenali sebagai Jamil, segera menukar haluan kereta menuju ke Pusat Rawatan Pakar Normah untuk rawatan awal.

Akibat serangan tersebut, Datuk Daud yang terkenal dengan jolokan “pemimpin MIC tunggal Sarawak” telah menjalani terapi pemulihan dalam tempoh yang agak lama.

Malah faktor kesihatan inilah yang mendorong kepada pengundurannya dalam politik, sebelum diganti oleh Naib Ketua Pemuda Tupong ketika itu, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Fazruddin Abdul Rahman.

Sebelum itu, lelaki berusia 66 tahun ini yang mula terlibat dalam politik sebagai Ketua Pemuda PBB N6 Satok juga memiliki sejarah penyakit jantung.

Perjalanan hidup lelaki keturunan India Muslim ini cukup menarik. Beliau seorang jurutera dan pemaju perumahan yang berjaya, malah seorang yang amat komited membantu anak-anak yatim dan malang.

Atas hati budi yang murni itulah, Tun Abdul Taib melantik usahawan muda ini menjadi Adun Tupong pada 1991, iaitu kawasan baharu berikutan persempadanan semula Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Daud berkhidmat sebagai Adun Tupong selama lima penggal sejak 1991 dan
berundur pada pilihan raya negeri 2016.

Kemuncak kerjayanya, bekas Naib Presiden PBB itu menjawat Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam).

Ketika wawancara khas tersebut, Daud dengan butir kata yang kurang jelas, mengesahkan keputusannya mahu melepaskan jawatan dan berundur dari arena politik adalah atas kerelaannya sendiri, bukan tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

“Selama 25 tahun saya menjadi wakil rakyat, bermula dari era Tupong adalah kawasan DUN baharu ketika itu.

“Ia bukanlah satu tempoh masa singkat… tiba masanya kita harus memberi peluang kepada muka baharu yang lebih muda untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan ini.

“Kita yakin terhadap keupayaan generasi muda menyambung legasi kepemimpinan sedia ada.

“Begitu juga kemampuan mereka meneruskan agenda pembangunan di Tupong yang mengalami pelbagai kemajuan sehingga berkembang pesat seperti dilihat hari ini,” katanya.

Kata Daud, kejayaan yang cukup membanggakan dirinya ialah perubahan dari segi pemilikan masjid oleh masyarakat Islam di negeri ini.

Banyak “rumah Allah” berjaya dibina saban tahun dan ia adalah sesuatu yang amat mengusik dan menggembirakan hatinya.

Daud yang juga bekas Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak, berkata, selepas bersara, beliau mahu memberi fokus kepada usaha pemulihan kesihatannya, dan menumpukan komitmen terhadap kerja-kerja kebajikan, khususnya membabitkan golongan asnaf, saudara baharu dan anak yatim.

Datuk Daud menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.10 petang petang semalam akibat komplikasi jantung selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Timberland sejak Rabu.

Beliau sebelum itu mengadu kakinya kebas, sebelum nazak sekitar jam 2.30 petang.

Menurut anaknya, Siti Masitah, 34 tahun, bapanya mengadu sakit di bahagian perut sejak Raya pertama (pada Ahad) sebelum ke dibawa ke TMC. Difahamkan, beliau sepatutnya menjalani rejim rawatan selama sebulan.

Datuk Daud meninggalkan seorang isteri Datin Noraini Hussin,64 tahun, seorang anak lelaki berusia 37 tahun serta dua anak perempuan berusia 31 tahun dan 34 tahun.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gita dekat sini, pagi ini.

Turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dijangka menziarahi Allahyarham jam 10 pagi ini sebelum pengebumiannya.

Tun Abdul Taib Mahmud adalah rakan karib Allahyarham yang sentiasa percaya akan keikhlasan dalam perjuangannya.

Al Fatihah. – Sarawakvoice