Wabak rabbies: Kementerian Kesihatan laksana kawalan dan pencegahan di kejiranan terlibat

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian hari ini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan termasuk menjalankan siasatan rapi di daerah berdekatan lokaliti kejadian rabies atau penyakit anjing gila di Serian.

Menurutnya, satu mesyuarat melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar dan wakil kerajaan tempatan telah berlangsung pagi tadi dan beliau meminta  penduduk di kejiranan tersebut tidak panik.

“Saya minta masyarakat tidak panik tetapi paling penting jika anak-anak ada menunjukkan perubahan sikap dan rasa takut akan air, segera bawa ke hospital,” katanya di Rumah Terbuka Aidilfitri Menteru Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan di sini semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dari Kampung Paon Sungai Rimu, Serian dijangkiti virus rabies.

Dr Sim yang bertanggungjawab berhubung isu kesihatan negeri memberitahu, pihaknya turut meminta bantuan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) dalam menangani perkara tersebut.

“Penyakit ini sudah lama tidak berlaku, mungkin masyarakat tidak menyedarinya. Selepas ini diharapkan masyarakat lebih berwaspada terutama jika anak-anak bersikap pelik dan rasa takut terhadap air.

Dr Sim juga mahu ahli keluarga sensitif dan ambil tahu aktiviti anak-anak mereka
terutama apabila bermain dengan anjing.

“Kadang-kadang kanak-kanak kena gigit, tetapi tidak beritahu (anggota keluarga),” katanya. – Sarawakvoice