SIBU: Untuk menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia perlu dilakukan secara berhemah dan tidak boleh terburu-buru kerana melibatkan banyak proses.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, sebab itu Kerajaan Negeri melantik pasukan peguam diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai menteri bertanggungjawab MA63 melakukan kajian terperinci.

Bercakap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Sibu anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sibu di hotel terkemuka pada hujung minggu, Abang Johari berkata Hasidah dihantar ke London bersama-sama peguam lain bertujuan mengkaji fakta dan meneliti peruntukan MA63 berkaitan kepentingan Sarawak.

“Jika mahu dapat semula hak kita, mesti buat kajian serta lakukan kerja rumah dulu. Tidak boleh sembarangan dan ia mesti dilakukan dengan teliti,” ujar Abang Johari.

Sebelum ini, Abang Johari mengaku Kerajaan Negeri tidak berdiam diri berhubung tuntutan  hak Sarawak, sebaliknya meneruskan usaha Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mendapatkan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

Sepasukan peguam ke London mencari dan meneliti rujukan berhubung MA63 bagi menentukan hak sebenar Sarawak berdasarkan fakta betul dan tidak dilakukan secara sembrono.

Menurut Abang Johari kerja rumah mesti dilakukan, tidak boleh “main tembak sesuka hati” serta kajian tepat perlu dilakukan serta menilai melihat apa-apa peruntukan yang harus dipertahankan.

Pada majlis ramah-tamah Aidilfitri tersebut, Abang Johari turut menggesa rakyat Sarawak terus mengukuhkan perpaduan sesama kaum dan agama dalam usaha membantu kerajaan membangunkan negeri dan ekonomi rakyat.

Nilai perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama sangat penting menjamin pembangunan dan kemakmuran negeri ini tercapai suskes. – Sarawakvoice