Ramai warga bermain meriam buluh pada Aidilfitri di negara ini tidak menyedari bahawa perbuatan mereka merupakan kesalahan di bawah Undang-Undang Senjata 1960.

Justeru, Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Hasnan Hassan mengingatkan agar masyarakat tidak bermain meriam buluh kerana selain berbahaya, ia jelas melanggar undang-undang negara.

Menurut aduan polis yang diterima daripada orang awam, ramai orang yang tidak selesa mendengar bunyi kuat meriam buluh.

Ada penduduk mengaku tidak dapat tidur atau melakukan aktiviti normal kerana gangguan bunyi kuat meriam buluh.

Hasnan berkata, keselamatan penduduk setempat semasa Aidilftri lebih penting, walaupun meriam buluh popular dan merupakan permainan tradisi di kampung-kampung sempena Aidilfitri.

Selain meriam buluh, kegilaan membakar mercun yang merupakan tradisi masyarakat Cina menyambut Xong Xi Fat Chai turut menular sejak sekian lama dan semakin parah mutakhir ini.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad meminta masyarakat Islam tidak mengaitkan tradisi bermain mercun dengan sambutan Aidilfitri.

Bermain bahan berbahaya seperti mercun atau meriam buluh boleh memudaratkan diri dan orang lain, dan perbuatan ini jelas dilarang Islam.

Setiap kali perayaan banyak insiden melibatkan kemalangan semasa bermain mercun atau meriam buluh dilaporkan.

Bahkan, ada yang menjadi tragedi yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda awam.

Kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan individu yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh dipenjara 7 tahun dan didenda RM10,000.

Sementara, mengedar, menjual dan memiliki mercun juga menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhkan hukuman maksimum lima tahun penjara atau membayar denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Di Kuching, keceriaan sebuah keluarga di Kampung Bintawa Hilir bertukar muram, apabila kanak-kanak Haiqal Hakim Zolpaka, 12, terbaring tidak bernyawa akibat bermain mercun bawang di kediamannya.

Siasatan awal mendapati kesan kecederaan kepala mangsa pecah pada bahagian atas pada insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komsioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian 12.15 Ahad malam, berlaku ketika ayah mangsa mengemas rumah dan terdengar bunyi letupan yang kuat dari luar rumah.

Kes berlaku 1 Syawal ini turut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak kerana kecuaian ibu bapa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihak kementerian bercadang membawa kes kematian kanak-kanak tersebut di Majlis Kanak-kanak Kebangsaan dan Majlis Sosial Negara.

Usaha berkenaan diambil bagi menggesa tindakan penguatkuasaan tegas dilaksanakan segera membendung kanak-kanak di bawah umur terus menjadi mangsa aktiviti seperti itu.

“Kita mengharamkan permainan mercun. Tetapi mercun masih masuk… saya akan bentangkan kes ini dalam Majlis Kanak-kanak, input daripada situ akan saya panjangkan kepada Majlis Sosial Negara,” kata Rohani.

Rohani berkata pihaknya juga melaksanakan tindakan “pengabaian” di bawah Akta Kanak-kanak yang dipinda tahun lalu kepada ibu bapa mangsa kerana gagal memberi perlindungan wajar kepada kanak-kanak terbabit.

Ketika keluarga mangsa masih bersedih dan trauma dengan kejadian tersebut, Rohani menyifatkan sesuatu perlu dilakukan demi memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar kes seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan.

Rohani mahu kemalangan ini menjadi satu mesej serius kepada ibu bapa dan ia harus dijadikan sebagai iktibar. – Sarawakvoice