Dr Awang Azman Awang Pawi

Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) masih menjadi teka-teki. Sekurang-kurang tarikh pilihan raya dijangka  September, Oktober, November  tahun ini atau Mac tahun depan yang menjadi pilihan ramai penganalisis. Namun untuk analisis ini, fokus akan menjurus kepada  analisis untuk tahun 2017 sahaja.  Analisis kemungkinan PRU dijangka  diadakan pada tahun 2018 akan menyusul kemudian.

Faktor Sukan SEA?

Tarikh sukan SEA bermula pada 19 Ogos 2017 hingga 30 Ogos 2017.  Sudah tentu  PRU tidak akan diadakan  pada bulan Ogos kerana pada bulan tersebut ke arah persediaan bulan menjadi  tuan rumah sukan Asia Tenggara yang berprestij tersebut.

Namun ada yang menyifatkan PRU dijangka berlaku sebaik sahaja sukan SEA selesai.

Mereka berandaian demikian kerana banyak liputan dibuat, semangat penyatuan negara begitu kuat ketika bersaing dengan negara lain. Ketika itulah, ramai anak-anak muda  yang menjadi peminat besar sukan dan menjadi tarikan.  Ia berupa kempen percuma kepada Barisan Nasional.

Namun bagaimana jika prestasi Sukan SEA negara tidak memberangsangkan? Sudah pasti ia akan menurunkan reputasi dan nama baik negara yang cuba dijulang melalui aktiviti sukan ini.

Pada ketika itu juga tarikh hari kebangsaan disambut pada 31 Ogos. Tarikh ini  memberikan makna yang besar kepada rakyat mengenai jasa parti seperti UMNO dalam kemerdekaan negara dan  sumbangan BN dalam pembangunan negara.

Hal ini juga diringi dengan  sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang menekankan sumbangan Sabah dan Sarawak  dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Rakyat Sabah dan Sarawak  sangat menghargai sambutan Hari Malaysia yang dilihat sebagai usaha kerajaan BN mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak.  Jadi  tarikh selepas 16 September juga dilihat sebagai tarikh-tarikh yang sesuai bagi  mengadakan PRU ke-14.

Faktor Oktober?

Pada bulan Oktober terdapat  dua peristiwa penting bagi negara.

Yang pertama ialah lawatan bersejarah Presiden China Xi Jinping yang akan mengadakan  lawatan kerja ke Malaysia. Perasmian Xiamen University Malaysia yang melambangkan kerjasama ampuh Malaysia-China diyakini mampu meningkatkan imej positif kerajaan Barisan Nasional.

Pada ketika itu  semua Jemaah Kabinet akan hadir maka tidak mungkin  parlimen dibubarkan pada bulan Oktober ini. Sekiranya dibubarkan, kemungkinan lawatan bersejarah Presiden China ditangguhkan.

Yang kedua ialah  Bajet 2018 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober  hadapan. Jadi, timbul spekulasi, adakah selepas bajet diadakan  maka Parlimen dibubarkan?  Dengan kata lain, Parlimen akan dibubarkan pada bulan November?

Mereka berpendapat sudah tentu ada bonus  sekurang-kurangnya sebulan diumumkan kepada penjawat awam yang menjadi penyokong kuat BN akan menggembirakan golongan  penjawat awam.  Pelbagai projek pembangunan akan diumumkan bagi tahun 2018 dijangka mampu dapat memancing lebih banyak lagi pengundi.

Namun pandangan ini kurang tepat. Hal ini kerana Bajet 2018  selepas dibentangkan perlu kelulusan ahli parlimen. Sedangkan  Dewan Rakyat akan bersidang pada 23 Oktober hingga 30 November.

Manakala  persidangan Dewan Negara pula hanya akan bermula pada 4 November hingga 19 Disember.  Berdasarkan fakta ini adalah mustahil PRU akan diadakan pada bulan Oktober, apatah lagi diadakan pada bulan November dan Disember.

Bulan November dan Disember pula  ialah cuti sekolah. Ramai rakyat Malaysia bercuti di luar kawasan mereka sama ada  dalam  mahupun luar negara.   Pada bulan November dan Disember juga dikaitkan dengan musim tengkujuh dan banjir. Sudah tentu pihak kerajaan mengelak untuk mengadakan  PRU pada bulan November dan Disember.

Alternatif November?

Adakah Perdana Menteri akan melanggar arus sekiranya ingin mengadakan  PRU pada tahun ini? Hal ini pernah dilakukan oleh Tun Maharhir yang membubarkan parlimen pada bulan  November. Sedangkan pada ketika itu bajet  belum diluluskan lagi oleh Parlimen.

Peristiwa tersebut berlaku  pada tahun  1999, apabila bajet tahun 2000 dibentangkan pada Oktober 1999.  Kesan daripada tindakan  Tun Mahathir tersebut, telah menyebabkan Daim selaku Menteri Kewangan melakukan pembentangan semula bajet  pada bulan Februari tahun 2000.

Sebenarnya, agak jarang dalam sejarah BN,  PRU diadakan pada bulan November. Ia hanya dilakukan apabila BN berasa agak besar cabaran, terdesak dan  besar hambatan yang perlu dipikul untuk memenangi PRU.

Hal ini benar apabila  dilihat melalui keputusan PRU 1999 tersebut yang didapati keputusan  tidak memuaskan dan  sangat merosot berbanding PRU sebelum tersebut. Hal ini disebabkan faktor pemecatan Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi yang cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Tun Mahathir pada tahun 1999. – Sarawakvoice