Nyabong minta segera bina prasarana Plagus; sekolah menengah, dewan, bekalan air

KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang mahu kemudahan prasarana di kawasan beliau seperti sekolah menengah, bekalan air bersih, keperluan dewan serbaguna, pusat rekreasi dipercepatkan pembinaannya demi kepentingan rakyat.

Berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai 2017 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Genturong Sawang, Jalan Melekun, Nyabong berkata, beliau sudah mengenal pasti tapak pembinaan sekolah menengah Pelagus di kawasan Jalan Melekun.

Kredit Foto Romie Mie

DUN Pelagus mempunyai 12 sekolah rendah, tetapi masih belum memiliki sekolah menengah.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Sabtu, Nyabong berkata, sebelum ini beliau sudah memohon kepada Kementerian Pelajaran membina sekolah menengah di Pelagus.

Berkaitan isu bekalan air yang kerap terganggu di Kampung Genturong Sawang, beliau mencadangkan agar didirikan beberapa tangki simpanan air bagi menyediakan bekalan air kepada isi rumah di kawasan terbabit.

Manakala, Nyabong turut meminta penduduk mencari tapak sesuai bagi tujuan pembinaan dewan serbaguna dan tempat rekreasi seperti gelanggang futsal.

Sementara, demi melindungi nyawa dan harta benda awam, Skuad Sukarela Memerangi Kebakaran perlu ditubuhkan agar mudah bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi latihan kepada penduduk.

Nyabong berkata, beliau dapat membantu menggunakan peruntukan sedia ada membeli peralatan asas pemadam kebakaran.

Bagi melibatkan lebih ramai generasi muda menceburi bidang pertanian, Nyabong mahu Pusat Latihan Pertanian di DUN Pelagus ditubuhkan.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan peruntukan geran kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Kasaw. – Sarawakvoice