Sarawak sasar tujuh jenis sukan ke peringkat dunia — Abdul Karim

KUCHING: Sarawak menyasarkan tujuh jenis sukan yang akan diberikan tumpuan bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu yang boleh dididik, dilatih dan dijadikan atlet bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sasaran ini telah digariskan sebagai indeks prestasi utamanya (KPI), dalam usaha Sarawak mencapai sebuah kuasa sukan pada tahun 2020.

“Sukan-sukan ini ialah memanah, olahraga, boling tenpin, angkat berat, gimnastik berirama, renang dan menembak,” katanya.

Kata Abdul Karim, sasaran ini juga diletakkan sebagai salah satu perkara yang akan dipantau Jawatankuasa Kabinet mengenai Prestasi dan Transformasi Penyampaian Perkhidmatan.

Usaha dan impian ini bukanlah perkara yang sukar kerana Sarawak telah memiliki kemudahan-kemudahan sukan bertaraf dunia.

“Justeru tidak timbul isu ketiadaan fasiliti. Kita membelanjakan lebih RM400 juta untuk tujuan itu, ketika penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) lalu.

Kerana itu jelasnya, kementeriannya menganjurkan Sukan Sarawak (SukSar) pada hujung tahun ini, sebagai salah satu landasan untuk mengidentifikasikan bakat-bakat baharu, terutamanya dari luar bandar.

“Bakat-bakat hebat dari luar bandar yang berjaya dicungkil sebelum ini termasuklah Jonathan Nyepa dari Belaga dan Jackie Wong dari Sarikei,” katanya lagi.

Bagi menjayakan hasrat ini katanya, kementeriannya kini merancang beberapa program pemerkasaan atlet dan pentadbir sukan, termasuk program kejurulatihan berkualiti dan program kepimpinan.

“Peserta juga akan didedahkan kepada Kursus Sains Sukan Aras I,II dan III, selain pendidikan asas kejurulatihan selain pendidikan kejurulatihan lanjutan.

“Pada masa yang sama, menerusi Rancangan Malaysia ke-11, kita mensasarkan pembinaan pusat belia dan sukan yang berharga RM60 juta, selain mewujudkan program sokongan penyampaian prestasi untuk atlet, jurulatih dan pentadbir sukan,” katanya lagi. – Sarawakvoice