Sarawak bakal muncul kuasa baharu sukan muaythai

KUCHING: Sarawak yakin akan muncul sebagai “kuasa baharu” dalam sukan Muay Thai, kata Presiden Muaythai Sarawak, (PMNS) Jumaat Ibrahim.

Katanya, dalam perkembangan terkini, sukan tersebut semakin mendapat tempat dalam rakyat di negeri ini.

“Semakin banyak pusat muaythai telah dibuka di seluruh Sarawak, dan semakin ramai bakat baharu yang telah dicungkil.

“Kerana itu kita yakin, sukan ini akan menjadi kegilaan generasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di Kuching semalam.

Jumaat berkata, 14 atlet muaythai negeri itu akan menyertau Kejohanan Muaythai Remaja Kebangsaan di Starling Mall, Damansara Utama pada 6 hingga 9 Julai akan datang.

Mereka akan beraksi dalam empat kategori umur yang dipertanding.

“Jika atlet-atlet kita berjaya mengharungi saingan ini, mereka berpeluang untuk mewakili negara dalam Kejohanan Muaythai Remaja Dunia pada Ogos depan,” jelasnya.

Atlet yang terpilih mengibarkan bendera Sarawak ialah Johan Ghazali, Mikail Ghazali, Syarif Nukman Norman, Mohd Rifdean Masdo, Ayu Addyqa Azmi, Maureen Hii Sie Lin, Ayu Arynafaiza Azmi, Muhammad Haikal Zaidi, Abdul Hadi Jamil, Pratasaratee Punniyamoorthy, Awangku Abdul Rahman Awang Mara, Nur Syafiqdin Osman, Morris Hii Zhen Wei dan Mohd Eswandy Hassan. – Sarawakvoice