Remaja mati lemas ambil bola terjatuh di sungai Tatau, hari keempat Aidilfitri

TATAU: Mohd Izzuddin Abdullah, 13, cuba mengambil bola yang terjatuh di sungai semasa bermain bola sepak bersama rakan di sungai berdekatan restoran muara Kuala Tatau sekitar 5.30 petang Rabu.

Keadaan tidak menyebelahinya apabila remaja terbabit lemas pada sambutan Aidilfitri hari keempat.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Jumaat, sejurus menerima panggilan pengadu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hatta Gobel berkata, enam anggotanya diketuai Pegawai Bomba Kanan II Joseph Balun dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau bergerak ke tempat kejadian sekitar 7 petang.

Sementara, Utusan Borneo melaporkan pada Jumaat, Pegawai Operasi Balai Bintulu Mohd Ishak Imran berkata, insiden berlaku apabila mangsa cuba mengambil bola terjatuh di sungai, tetapi dia tergelincir menyebabkannya hanyut dibawa arus deras sebelum tenggelam.

Jasad mangsa ditemui sekitar 9 malam oleh penduduk kampung yang turut serta dalam usaha mencari sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sarawakvoice