Posa mahu pemain jinakkan Kelantan, lupakan tragedi Sabah

KUCHING: Lupakan kisah pahit dan tragedi di Sabah. Itu cerita lama, pesan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais kepada anak-anak buahnya.

Menurutnya, episod kekalahan dalam perlawanan persahabatan menentang Sabah, malah trauma terlibat kemalangan maut apabila seorang penunggang motosikal merempuh bas sewa pasukan sewaktu berkunjung ke Kota Kinabalu sebelum Aidilfitri lalu, harus segera dilenyapkan.

“Kita harus bangkit!

“Kekalahan ini bukan tanda ukur sebenar pasukan. Ia hanya aksi ujian dan pengemudi pasukan, David Usop banyak melakukan penyesuaian selepas itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan di Kuching.

Katanya, tumpuan pasukan kini perlu terarah kepada aksi menjinakkan The Red Warrior pada 1 Julai depan.

“Tiada lagi ruang kesilapan. Tiada lagi istilah kekalahan. Yang ada hanyalah tiga atau satu mata yang akan dibawa pulang,” katanya lagi.

Prestasi tenggelam timbul tegasnya, harus tinggal sejarah, sementelah Sarawak telah berwajah baharu, setelah memiliki dua import baharu iaitu Mohamad Sahil Suhaimi dan Milos Raickovic.

“Saya juga menuntut komitmen berterusan Demerson Bruno Costa dan Mateo Roskam, yang setakat ini tidak pernah mempamerkan aksi mengecewakan,” jelasnya.

Dalam aksi di Kota Kinabalu, Sarawak tumpas 1-2, 1-6 dan 2-3 kepada Skuad Badak pimpinan Julius Ating.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, David Usop yakin, anak-anak buahnya mampu memberi saingan getir kepada Kelantan pada Sabtu depan.

“Berdasar latihan hari ini, moral dan semangat mereka jelas tinggi dan kembali kepada asal.

“Kesemua pemain juga bebas daripada belenggu kecederaan, dan ini membuka peluang kepada kita untuk mencatur strategi.

“Cuma yang penting adalah untuk memastikan setiap pemain dapat memberikan fokus penuh kepada permainan, dan menutup ruang kepada kesilapan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice