Pas tolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB

KUALA LUMPUR: Pas  menolak dengan tegas kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syarak seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman riba dan sebagainya.

Berhubung isu 1MDB, Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, Pas mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urus tadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membanteras politik wang.

Dalam masa yang sama,  kata Nasrudin Hassan, Pas konsisten atas apa-apa juga dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat oleh satu badan siasatan yang profesional dan telus.

Gambar fail

“Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nasrudin, Pas bersama-sama Gagasan akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) tidak berapa lama lagi  bagi menjelaskan penyelesaian fundamental mengenai isu rasuah yang membarah, termasuklah berkait 1MDB.

“Perlu ditegaskan, bahawa Pas mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan roadmap perjuangannya. Tidak terikat dengan mana-mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri,” tambahnya.

“Pas kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya,” jelasnya.

Kerajaan, ujarnya,  perlu menunjukkan ketelusan sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan agensi negara seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Peguam Negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat.

“Pas melahirkan kebimbangan dengan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut,” katanya lagi. – Sarawakvoice