Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memang penuh dengan imaginasi.

Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keluar daripada Umno, parti yang diterajuinya selama 22 tahun, mempunyai daya imaginasi yang begitu subur.

Terkini, pemimpin yang paling lama memerintah Malaysia menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan menangkap dan menahan pemimpin pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Tujuannya, kata beliau dalam catatan terbaharu blognya, bertujuan mengkucar-kacirkan parti politik, menjelang PRU nanti.

Lalu, Mahathir pun mengimbas semula Bersih 5.

Katanya, ketika itu Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan menyekat demonstrasi itu, tetapi semua orang tahu beliau bermati-matian berusaha menghalangnya daripada terus diadakan atau mengurangkan skalanya.

Beliau berkata, walaupun Bersih 5 mematuhi hampir semua syarat dikenakan, beberapa hari sebelum demonstrasi diadakan, pemimpin utama – Maria Chin Abdullah dan sembilan yang lain ditangkap.

“Maria dihumban ke dalam bilik yang sejuk dan gelap. Ini merupakan satu penyeksaan. Demonstrasi tetap berjalan tanpa ramai daripada pemimpin mereka,” katanya dalam catatan pedas itu.

Berdasarkan kejadian itu, kata Mahathir, dapat dijangkakan Najib akan bertindak untuk menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat ketika PRU-14 nanti.

Menurutnya, terdapat beberapa tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang.

“Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti. Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang.
“Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan,” tulisnya lagi.

“Undi untuk pembangkang akan merosot. Dan semasa ketiadaan pemimpin, Najib boleh rasuah rakyat dan pekerja parti sesungguh hatinya. Mereka akan lakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas,” katanya.

Mahathir memang mempunyai ingatan singkat.

Mahathir yang kini berusia 92 tahun lupa bahawa beliau telah menangkap 106 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menggerunkan pada 1987.

Namun, akta itu telah dihapuskan oleh Najib beberapa tahun lalu, selepas banyak disalahgunakan oleh Mahathir ketika memerintah ala kuku besi.

Mahathir dalam tulisannya itu mendakwa secara dasar Malaysia bukan lagi sebuah demokrasi.

“Kita kini diklasifikasikan sebagai sebuah kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin pencuri. Tahap penipuan dalam pilihan raya akan menjadikan ianya tidak bererti sama sekali. Ianya memalukan,” katanya.

Pada tahun Operasi Lalang dilancarkan, Mahathir hampir tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden Umno.

Mahathir yang mengetuai Team A hanya menang dengan 43 undi. Dengan hanya 51.45 peratus ahli dan pemimpin Umno di belakangnya, Mahathir berdepan cabaran besar.

Dengan menggunakan alasan ketegangan etnik, Mahathir menangkap mereka yang difikirkannya berpotensi menggugat kuasanya.

Mahathir memecat dan menggugurkan banyak menteri yang tidak sehaluan dengannya.

Antara Oktober dan Disember 1987, pihak polis menangkap 119 orang yang jelas menggemparkan negara.

Mereka yang pernah disumbat dalam penjara di bawah ISA tahu akan kesengsaraan dan penderitaannya.

Tetapi Mahathir menggunakan ISA untuk mengukuhkan kuasanya.

Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang yang kini bersama Mahathir, tentu dapat menceritakan segalanya kerana beliau pernah disumbat Mahathir di dalam penjara di bawah ISA. – Sarawakvoice