Mereka amal politik Pak Pandir Moden, kata Pas

KUALA LUMPUR: Pas hari ini membidas tindakan portal tertentu yang cuba melaga-lagakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, propaganda murah pihak yang menyimpan hasad dengki terhadap Pas tidak  akan mampu menggugat  parti Islam itu.

“Makin teruk Pas diserang, makin erat kami bersatu,” kata Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

“Portal nyamuk cuba lagakan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi dengan Timbalannya Dato Tuan Ibrahim Tuan Man. Mereka dakwa Timbalan Presiden lantik semula pihak yang telah dipecat oleh Presiden parti.

Mereka habis daya mahu kucar PAS setelah menyedari kedudukan mereka kian retak menanti runtuh,” katanya lagi.

Beliau berkata, saf kepemimpinan Pas semakin utuh dan siap mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Nasrudin, Datuk Mustafa Ali dilantik sebagai Pengerusi Badan Penasihat parti oleh Presiden parti dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat, demikian juga anggota yang lain.

Keputusan itu kemudiannya dimuktamadkan oleh Mesyuarat Bulanan Pas Pusat yang dipengerusikan oleh  Timbalan Presiden ekoran keuzuran Abdul Hadi baru-baru ini.

“Mereka amal politik Pak Pandir Moden. Kalau parti aku sudah retak, parti kamu tidak boleh dibiar kuat,” katanya. – Sarawakvoice