Hafal lagu ‘Ibu Pertiwi’ bukti jiwa patriotik Demerson, pemain Brazil bersama Sarawak

KUCHING: Saya cukup seronok di sini. Saya gembira menjadi sebahagian daripada warga Kuching dan Sarawak, kata Demerson Bruno Costa, 31 tahun.

Pemain asal Belo Horizonte, Brazil itu bukan melaungkan retorik mengenai cinta pandang pertamanya kepada Bumi Kenyalang.

Ini kerana biarpun kurang enam bulan berada di negeri ini, beliau mampu mendendangkan lagu rasmi negeri, ‘Ibu Pertiwiku’ dengan lancar, dan mula menggemari masakan tempatan.

Malah kesungguhannya menyanyikan lagu itu dengan menghafal liriknya, cukup mengagumkan hingga mendapat pujian rakyat Sarawak.

Kredit Foto FAS

Kata Bruno Costa, beliau berasa tenang dan gembira dengan penerimaan dan layanan penduduk negeri ini, malah berkesempatan meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama mereka.

Ia juga sebenarnya terapi yang baik untuk membolehkan pemain berketinggian 1.85 meter itu melupakan insiden hitam dalam hidupnya.

Pada 12 Mei tahun lalu, Demerson telah menyertai Kelab Chapecoense, tetapi tidak bersama-sama rakan sepasukan ketika mereka menaiki pesawat 2933 LaMia Airlines yang menyertai aksi akhir Copa Sudamericana 2016.

Demerson bernasib baik kerana pesawat tersebut kemudiannya terlibat dalam nahas dan mengorbankan kesemua 19 rakan sepasukannya.

Bruno Costa yang kini tinggal di Kuching bersama-sama isteri dan dua anaknya, kini cukup gembira menikmati keindahan Sarawak.

Malah mereka turut berkesempatan menyusuri Sungai Sarawak menggunakan kapal pelancong, baru-baru ini.

Mengenai aksi bertemu Kelantan pada 1 Julai depan, Bruno Costa yakin, kesemua pemain akan memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang mata.

Ini dibuktikan dengan latihan bersungguh selain persefahaman yang semakin menyerlah dalam kalangan rakan sepasukan.

Dalam aksi menentang Kelantan kelak, Bruno akan berkubu bersama-sama Hairol Mokhtar manakala tiga rakan import lain, Mateo Roskam, Milos Raickovic Rai dan Mohd Sahil Suhaimi akan membentuk barisan penggempur. – Sarawakvoice