KAPIT: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing mengimbau, 30 lalu kawasan Baleh sangat sukar didatangi.

Bahkan, lebih setengah abad lalu, Kapit merupakan kawasan yang sukar dihubungi dengan kawasan lain di Sarawak.

Kini, Baleh mudah dihubungi langsung melalui jalan raya biarpun masih menerusi jalan balak.

Bahkan, menurut Masing, dalam tempoh empat tahun lagi Kapit semakin “dekat” dengan kawasan lain di negeri ini dan tidak lagi menjadi ibarat “sebuah pulau” dalam Pulau Borneo.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Jumat, Masing berkata, hampir 80 peratus kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh kini sudah dapat dihubungi dengan kemudahan jalan raya terutama melalui jalan syarikat pembalakan.

Masing berucap pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Gendang, Sungai Puro, Gaat, Baleh turut memuji kesabaran rakyat kerana pelaksanaan projek pembangunan di sesebuah kawasan biasanya memakan masa panjang.

Masing merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh turut bersyukur kerana masyarakat di situ setia bersama beliau sejak 30 tahun lalu.

Sebagai upah kesetiaan dan sokongan yang konsisten itu, wajar masyarakat Baleh menikmati pembangunan yang dibawa masuk termasuk Empangan Hidro Elektrik Baleh dan sebagainya.

Kini beberapa kawasan di Baleh sudah mempunyai akses internet dengan berdirinya menara telekomunikasi di Baleh.

Kapit berubah wajah secara drastik apabila Lebuh Raya Pan Borneo 1,089 kilometer bernilai RM16 bilion yang dianggap sebagai “ibu segala projek jalan raya” di Sarawak terbina.

Jalan raya paling dinanti-nantikan rakyat Kapit, Song, Kanowit dan Sibu ialah projek bernilai RM711 Jalan Kanowit-Kapit sepanjang 83 kilometer. Dari sinilah kawasan dan tanah di pedalaman Baleh, Mujong, Sungai Tunoh yang terkenal sebagai kawasan penanaman padi berskala besar mulai terkuak kepada erti pembangunan.

Selain meningkatkan akses ke rumah panjang dan penempatan penduduk, rakyat di kawasan terbabit mendapat kemudahan seperti bekalan elektrik dan air bersih.

Jalan berkenaan turut mengurangkan kos sara hidup kerana ia menjadi pilihan lebih murah kepada pengangkutan air atau sungai. – Sarawakvoice