Manfaatkan graduan IT bangunkan segera e-dagang online S’wak mirip Alibaba, Lazada

KUCHING: Sarawak perlu segera mewujudkan laman perniagaan atas talian sendiri mirip Alibaba.com atau Lazada.

Hal ini dilihat mempunyai impak membantu usahawan tempatan Sarawak memasarkan produk keluaran masing-masing secara atas talian ke seluruh dunia dengan efektif.

Pusat perdagangan digital atau laman perniagaan atas talian khas Sarawak kendalian Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan e-Dagang ini harus bijak memanfaatkan tenaga belia mahir teknologi maklumat (IT) membangunkan sistem pemasaran online tersebut.

Menteri Muda e-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais berkata para usahawan di negeri ini boleh menyewa atau menggunakan kemudahan sistem online terbabit bagi memasarkan produk mereka.

Mekanisme pengurusan sistem niaga online ini wajar memanfaatkan laman sosial dan juga pusat dagang digital ini.

Dalam pada itu, tenaga kerja belia berkemahiran IT ini secara maksimum membantu usahawan terbabit memasarkan produk atas talian dengan mengaturkan urusan jual belinya sehingga produk sukses sampai ke tangan pengguna.

Bercakap pada program Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Medan Hamidah, Petra Jaya pada Rabu, Naroden berkata, kelebihan Sarawak sekarang ialah, negeri ini mempunyai ramai sumber tenaga belia lulusan IT yang dapat bekerja di sektor ini.

Tenaga dan kemahiran mereka perlu digembleng membantu memasarkan produk keluaran usahawan tempatan ini terutama produk bermutu dari luar bandar negeri ini secara atas talian.

Laman niaga khas Sarawak ini pasti mampu menjadi pelantar membawa pasaran produk tempatan ke pasaran besar global.

Dari segi mekanisme operasi sistem, tenaga kerja berkemahiran ini diambil bekerja dengan bayaran gaji bulanan, selain dicadangkan menikmati komisyen sekitar dua peratus diperoleh daripada usahawan tempatan serta pembeli atas talian.

Menurut Naroden, pada masa yang sama, kebanyakan usahawan khususnya di kawasan luar bandar Sarawak masih perlu disuntik kefahaman serta kemahiran internet.,

Pada peringkat awal, mereka perlu didedahkan menjalankan urus niaga atas talian atau e-dagang, selain memasarkan produk di laman sosial serta laman jual beli di internet.

Naroden berkata, sekiranya mendapat kelulusan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan e-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh, pusat berkenaan akan segera dilancarkan.

Hal ini menurut beliau akan memberi impak besar kepada semua pihak dalam perniagaan e-dagang ini.

Pihak kementerian terbabit sedia menjalankan aktiviti jelajah ke pedalaman Sarawak membantu usahawan memahami modus operandi kaedah perniagaan e-dagang online ini. – Sarawakvoice