Lim Kit Siang: Pakar strategi atau ahli politik malang?

Lim Kit Siang, ahli politik yang istiqamah selama lima dekad di pentas politik pembangkang kelihatan menggelagak dengan kemarahan pada minggu ini. Namun begitu, tidak seperti biasa, kemarahan itu tidak ditujukan kepada pihak yang sepatutnya iaitulah pihak kerajaan pimpinan BN.

Yang menjadi sasaran kemarahan beliau pada kali ini kawan lama beliau yang kini telah menjadi musuh, iaitu Hj Hadi Awang, Presiden PAS. Pada Sabtu minggu lepas, Hj. Hadi Awang mengemukakan surat terbuka kepada menjelang Hari Raya Aidil Fitri dimana beliau menegaskan ada pihak tertentu cuba mengundang campurtangan asing dalam hal ehwal politik di negara ini.

Hj. Hadi Awang merujuk kepada campurtangan Jabatan Peguam Negara (DoJ) Amerika Syarikat dalam isu 1MDB. Hadi menegaskan bahawa institusi kehakiman dan profesional tempatan perlu diberi ruang untuk menyelesaikan skandal tersebut dan bukannya dengan mengundang campurtangan kuasa asing.

Lim Kit Siang dengan cepat menuduh Hj. Hadi Awang cuba menyokong BN dalam isu 1MDB dan DoJ. Kepada Lim Kit Siang, orang Melayu perlu bercakap mengenai dakwaan DoJ ketika mereka berada di kampung halaman di musim perayaan ini.

Lim Kit Siang mahu orang Melayu berpolitik sepanjang masa, termasuk dimusim perayaan dengan membicarakan isu-isu sensasi dan skandal.

Itulah Lim Kit Siang, pemimpin DAP yang percaya beliau hanya boleh memerintah di negara ini jika masyarakat Melayu dapat dipecah dan diperkotak-katikkan. Selagi orang Melayu bersatu padu, cita-cita tersebut mustahil akan dicapai.

Strategi pecah dan perintah oleh Lim Kit Siang juga dapat dilihat lebih sebulan yang lalu apabila beliau hanya mendiamkan diri ketika Pakatan Harapan ghairah berkelahi siapa sepatutnya menjadi PM yang ketujuh.

Kita tahu bahwa parti DAP pimpinan beliau mempunyai bilangan kerusi paling banyak di parlimen, iaitu 38 kerusi. PKR hanya ada 21 kerusi dan PPBM hanya satu kerusi. Lim Kit Siang tahu bahawa perkara ini menyalahi tatacara dan konvensyen demokrasi.

Lim Kit Siang yang terkenal dengan ketajaman minda dan sentiasa bersemarak dengan kritikan pedas secara sengaja memilih untuk mendiamkan diri. Beliau berpegang kepada konsep seperti yang didedahkan oleh ‘Superman’ Hew Kuan Yau, “biar Melayu bergasak sesama Melayu” (let the Malay screw the Malay).

Apakah Lim Kit Siang benar-benar ahli strategi atau ahli politik malang yang gagal membuat perkiraan?

Kesilapan Lim Kit Siang dalam perkiraan politik telah kita saksikan dimana langkah beliau bersekongkol dengan “musuh tradisi beliau” iaitu Tun Mahathir di baca oleh pendokong DAP sebagai orang yang terdesak dan akan melakukan apa sahaja yang kadang kala menyalahi prinsip beliau sendiri pegang selama ini.

Ambil contoh mengenai skandal Forex oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlaku pada tahun 1980an dan awal 1990an. Lim menulis buku mengenai skandal tersebut dengan mengkritik Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan pada masa itu.

Pada minggu lepas kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai perkara itu. Malangnya Lim Kit Siang tidak lagi mengaum seperti dahulu dimana beliau bermati-matian bertegas bahawa BNM kehilangan lebih RM30 billion.

Bagaimana reaksi Lim Kit Siang jika Hj. Hadi Awang mengatakan Lim kini bersekongkol dengan Tun Mahathir kerana membisu dalam kes RCI mengenai skandal Forex oleh BNM? – Sarawakvoice

Grafik WakeupMalaya