Jalan Rentap, Sarikei RM48.36 juta dijangka siap awal 2019

SARIKEI: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan menaik taraf Jalan Rentap, laluan dari pusat bandar, jambatan Kampung Seberang menghala ke Jalan Baji bernilai RM48.36 juta.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, projek ini memberi impak kepada warga Sarikei di Kampung Seberang dan sepanjang Jalan Rentap hingga ke Taman Susur Jambu.

Foto DUN Sarawak N41 Kuala Rajang

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Khamis, Len berkata banyak lagi projek lain menyusul antaranya pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sarikei-Tanjung Manis.

Bercakap pada majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PBB N.41 Kuala Rajang, Kampung Seberang pada Selasa yang dihadiri lebih 1,000 penduduk, Len berkata, kemudahan prasarana ini mengubah wajah Sarikei.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menyifatkan projek tersebut memberi manfaat kepada penduduk tempatan serta keseluruhan penguna jalan raya yang semakin meningkat.

Pada masa depan, kerajaan sedia membina  rangkaian jalan raya dari Sarikei ke Tanjung Manis.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan projek naik taraf Jalan Rentap sepanjang 3.2 kilometer, daripada dua lorong dua hala dengan piawai Jabatan Kerja Raya (JKR) R3 kepada empat lorong dua hala piawaian JKR U5.

Projek turut merangkumi langkah menaik taraf jambatan yang merentasi Sungai Sarikei sepanjang 120 meter.

Selain itu, turut dibina jejambat pejalan kaki, menaik taraf simpang berlampu isyarat dan membina dua simpang baharu berlampu isyarat serta menyediakan “lay-by” untuk kemudahan perkhidmatan bas.

Projek bertujuan mengatasi masalah kesesakan pada waktu puncak bermula 23 Mei lepas dan dijadualkan siap 24 Febuari 2019. – Sarawakvoice